Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:42pm
Datuk Seri Azmin Ali (kanan) dan Zuraida Kamaruddin. - Foto NSTP

Azmin, Zuraida tidak hadir Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR

PORT DICKSON: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tidak hadir pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di sini, hari ini walaupun dijadualkan memberi ucaptama.

Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju juga tidak hadir walaupun dijadualkan memberi ucapan.

Naib Presiden yang hadir seperti yang ditetapkan adalah Dr Xavier Jayakumar, Chua Tian Chang, Mohd Rafizi Ramli dan Chan Lih Kang.

Azmin dipercayai tidak hadir susulan kenyataan Anwar yang mencadangkannya bercuti jika terbukti terbabit dalam video lucah yang disebarkan baru-baru ini dan tidak perlu bercuti sekiranya video itu tidak sahih.

Azmin turut memberi reaksi balas dengan meminta Anwar bermuhasabah dan mencermin diri.

Sehingga jam 9.15 malam tadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tidak kelihatan hadir ke program berkenaan walaupun sepatutnya hadir pada jam 8.30 malam.

Esok adalah hari terakhir program itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berucap pada majlis itu pada jam 12.45 tengah hari.

1493 dibaca
Berita Harian X