Sabtu, 20 Julai 2019 | 6:08pm
Rina hadir pada majlis perasmian Karnival Sukan dan Komuniti Parlimen Titiwangsa di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan di Kampung Pandan, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Ambil perhatian gesaan Dr Mahathir - Rina

KUALA LUMPUR: Semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil perhatian terhadap gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berhenti bertelagah serta berebut kuasa sehingga leka dan kehilangan kuasa.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Rina Harun, berkata gesaan Perdana Menteri kerana beliau tidak mahu pimpinan parti gabungan PH bersengketa sesama sendiri sehingga parti mereka lumpuh dan turut menjejaskan keseluruhan pakatan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata pertelagahan sesama sendiri juga akan memudahkan parti lawan kembali berkuasa tanpa perlu bekerja keras menumbangkan PH.

“Semua pimpinan parti gabungan PH perlu mengambil berat gesaan Perdana Menteri supaya berhenti bertelagah serta berebut kuasa sehingga leka dan kehilangan kuasa dan paling penting bersama membina negara dan membela rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Sukan dan Komuniti Parlimen Titiwangsa di Kompleks Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.

Dr Mahathir ketika berucap pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR di Port Dickson, malam tadi dilaporkan mahu pimpinan dalam PH komited dan tidak hilang tumpuan dengan perkara sampingan yang tiada nilai kepada pembangunan atau hala tuju negara.

“Kita juga perlu tanya kepada diri kita apakah kita akan terus mendapat mandat rakyat jika mereka melihat kita terus bertelagah kerana berebut kuasa,” kata Perdana Menteri.

Mengenai karnival sukan dan komuniti berkenaan, Rina berkata, program itu kegiatan riadah untuk memastikan rakyat kawasan Parlimen Titiwangsa mengamalkan cara hidup sihat menerusi sukan.

“Program ini turut diisi klinik badminton yang saya harap membantu melahirkan atlit mengikut jejak langkah lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan anak-anak Sidek (Datuk Sidek Abdullah Kamar),” katanya.

275 dibaca
Berita Harian X