Khamis, 18 Julai 2019 | 6:49pm
NAIB Presiden PKR, Ali Biju.

Kenyataan bersama untuk satukan parti

KUALA LUMPUR: Pendirian bersama 29 Ahli Parlimen dan Majlis Pimpinan Pusat PKR meminta Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhenti membuat kenyataan memecah-belahkan parti itu, dibuat bertujuan menyatukan semua pihak.

Naib Presiden PKR, Ali Biju, berkata mereka tidak mahu melihat parti terus berpecah-belah dengan pelbagai kenyataan Anwar.

“Ia bertujuan menyatukan parti. Itu isunya ketika ini,” katanya ketika menghadiri sidang media bersama Anwar di lobi Parlimen, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willy Mongin.

Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok dan Willy ialah antara 29 Ahli Parlimen dan Majlis Pimpinan Pusat PKR yang membuat kenyataan bersama meminta Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan memecah-belahkan parti.

Ia susulan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu melepaskan jawatan kerajaan jika video lucah dikaitkan dengannya adalah tulen.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, yang turut berada dalam senarai 29 orang itu berkata, Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu.

“Ketika zaman reformasi, kita tidak meminta sesiapa pun meletak jawatan. Kita katakan yang kita menunggu siasatan polis (berhubung isu video lucah) dan itulah pengakhiran ceritanya.

“Ini adalah perkara prinsip. Ia mengenai politik kotor,” katanya.

Anwar pada sidang medianya pula berkata, Ali memaklumkan kenyataan terbabit bertujuan menyatukan parti dan Presiden PKR itu melihatnya sebagai perkara positif untuk memimpin parti yang kukuh bersatu.

“Ia tidak mencetuskan sebarang perang, ancaman atau perpecahan. Willy juga jelas mengenai perkara itu,” katanya.

Berita Harian X