Khamis, 18 Julai 2019 | 1:16pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Teliti kenyataan Anwar berhubung isu peletakan jawatan - PKR Perak

IPOH: PKR Perak menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan dan pendirian Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Naib Pengerusi I PKR negeri, Baldip Singh.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemimpin atau ahli parti itu agar tidak mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan pendirian Anwar yang mengeluarkan kenyataan berbentuk syarat iaitu `if’ atau `jika’ berkaitan ketulenan video lucah itu semalam.

“Kami yakin apa yang sedang dibuat oleh Anwar dan kenyataan beliau semalam berbentuk syarat, iaitu mengenai ketulenan video.

“Perkataan `if’ bermakna `sekiranya’ atau `kalau’, saya tidak nampak ada apa-apa kesalahan kenyataan itu, sekiranya video itu tidak tulen dan pelakunya tidak terbabit, maka tiada apa-apa atau sesiapa pun anggota parti terbabit perlu meletak jawatan,

“Jadi, (PKR Perak) terperanjat dengan kenyataan dikeluarkan pimpinan dan anggota parti yang salah faham dengan maksud perkataan `if’ itu, tiada perkara salah terhadap kenyataan itu, tiada kenyataan langsung meminta mana-mana pihak meletak jawatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi II PKR negeri, Tan Kar Hing; Naib Pengerusi III, Anuar Zakaria, pimpinan PKR negeri dan beberapa Ketua Cabang negeri.

Pagi ini, seramai 28 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen PKR mengeluarkan kenyataan bersama mendesak Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan perpaduan parti dalam isu video lucah berkenaan.

Mereka juga tidak setuju dengan kenyataan Anwar semalam yang menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, perlu melepaskan jawatan kerajaan sekiranya video berkenaan tulen.

Kata mereka, selaku Presiden PKR, Anwar sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Mohamed Azmin.

Baldip berkata, pendirian PKR Perak adalah jelas iaitu Anwar adalah Presiden parti buat masa ini dan perlu menerima sokongan penuh semua pimpinan dan ahli di seluruh negara, justeru PKR negeri berdiri teguh di belakang beliau dan menyokong apa sahaja kenyataan dan pendirian dibuatnya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga peguam berharap proses undang-undang telus didaulatkan berhubung penahanan serta tuduhan berkaitan isu video lucah terhadap Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang direman selama empat hari bagi disiasat terhadap kes berkenaan.

“Kami menyokong penuh beliau dan yakin pengerusi kami tidak terbabit dalam mana-mana kesalahan yang sedang disiasat dan beliau sebenarnya ditangkap polis dan kesahihan penyiasatan terhadapnya ini betul atau tidak, kami khuatir ia hanya (untuk) memalukan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Baldip yang mengetuai barisan peguam mewakili Farhash Wafa Salvador, mendakwa ketika proses permohonan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara semalam, Pengerusi PKR Perak itu ada menyatakan kepada majistret bertugas bahawa beliau tidak diberi makanan selama hampir 24 jam.

Katanya, Farhash Wafa Salvador ditahan ketika sedang makan tengah hari di rumah rakannya di Johor pada pada jam 2.30 petang kelmarin dan dibawa ke ibu pejabat polis Bukit Aman untuk disoal siasat dari malam hingga pagi dan hanya diberi sedikit makanan pada jam 12.40 tengah hari keesokan harinya.

1225 dibaca
Berita Harian X