Rabu, 17 Julai 2019 | 2:24pm
AHLI Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Siasat kesahihan, siapa yang merencana - Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bercuti jika video lucah yang dikaitkan dengannya disahkan asli oleh pihak berkuasa.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) berkata, jika sebaliknya pula, desakan bercuti terhadap Timbalan Presiden PKR itu adalah tidak berasas dan tidak perlu dilayan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kenyataan terbaru Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Mohamed Azmin bercuti atau menunggu proses perundangan, memberi gambaran ada perkembangan baharu dalam proses siasatan.

“Perdana Menteri pun buat pendirian berbeza, sebelum ini menolak keras tetapi sekarang memberikan ruang kalau Azmin boleh membuktikan kes (video lucah) itu.

“Membuat pilihan (pada Azmin) bermakna siasatan sudah menjurus ke arah itu (keaslian video). Dia tidak perlu cuti kalau tidak ada asas terhadap video itu, tetapi dia perlu cuti segera jika disahkan (video asli),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Menyentuh penahanan beberapa inidvidu berkaitan kes berkenaan termasuk pengerusi PKR sebuah negeri, Anwar berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan polis.

“Saya tidak dimaklumkan lagi selain apa yang saya dapat daripada media.

“Kalau itu dalam siasatan, kita serahkan sepenuhnya kepada polis seperti mana pendirian parti dan keadilan perlu diberi keutamaan terhadap pelaku serta perencananya.

“Saya masih serah kepada kebijaksanaan polis untuk mengendalikan siasatan secara telus dan profesional berhubung kesahihan dan siapa yang merencana,” katanya.

Mengenai desakan termasuk oleh pimpinan kanan parti meminta Mohamed Azmin bercuti, Anwar berkata, kenyataan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, itu dibuat berdasarkan perkembangan kes siasatan.

Shamsul Iskandar semalam mendesak pemimpin politik dikaitkan dengan tuduhan salah laku supaya ‘bercuti sementara’ sehingga siasatan selesai.

Berita Harian X