Khamis, 11 Julai 2019 | 4:02pm
PENGERUSI BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA

Najib dilantik penasihat BN kerana pengaruh - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Pengaruh Datuk Seri Najib Razak yang diharap mampu membantu Barisan Nasional (BN) berkuasa semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menjadi faktor beliau dilantik Pengerusi Lembaga Penasihat gabungan itu.

Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Najib dilihat mampu menyumbang idea dan tenaga untuk menarik sokongan rakyat.

Katanya, pemimpin dan ahli UMNO tidak wajar mengkritik pelantikan Najib dengan mengetepikan kemampuan bekas Perdana Menteri itu kerana BN dan UMNO memerlukan bantuan semua pihak untuk kembali menjadi kerajaan.

“Sesiapa pun boleh memberikan pandangan, yang penting semua pihak mesti langkah ke depan membantu BN dan UMNO untuk perkukuhkan parti.

“Tetapi, tidak begitu sesuai jika pandangan berbentuk mengenepikan kelebihan seseorang dalam memberi saranan dan tenaga, apatah lagi mempunyai pengaruh, yang boleh membawa generasi pelbagai kaum memenangkan BN pada PRU-15.

“Itu adalah faktor penarik untuk babitkan seseorang membantu organisasi politik ini bagi mengambil semula sokongan rakyat kepada UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin terhadap pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Mohamed Nazri semalam dilaporkan mempersoalkan kemampuan Najib memberi nasihat kerana BN dan UMNO tumbang di bawah pentadbirannya, manakala Khairy mengaku tidak gembira dengan pelantikan itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Najib bukan dibuat oleh UMNO semata-mata, sebaliknya dipersetujui Presiden MCA dan MIC, serta ahli Dewan Tertinggi BN yang terdiri daripada tokoh utama ketiga-tiga parti.

1410 dibaca
Berita Harian X