Khamis, 20 Jun 2019 | 10:32am
MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin (tengah) hadir pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat Kali Ke-58 di Wisma Belia, Indera Mahkota. - Foto Farizul Hafiz Awang

'Veteran PAS masih kenang perangai lama UMNO'

KUANTAN: Golongan pemimpin ‘veteran’ PAS perlu diberi kefahaman lebih jelas di sebalik motif penyatuan ummah dengan UMNO sebagai persediaan berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Wakil PAS Kedah, Nasrun Othman, yang mengutarakan pendirian itu berkata, usaha penyatuan ummah di negara ini demi memartabatkan Islam harus melalui beberapa proses.

Katanya, ia merangkumi gerak kerja memberi pemahaman kepada UMNO selaku sahabat baharu PAS mengenai asas utama perjuangan bersandarkan prinsip ‘demi Islam’, selain mengetepikan kisah silam antara kedua-dua parti sebelum ini.

“PAS Kedah komited untuk pastikan kemenangan kita pada PRU-15. Yakin ke tak yakin? Tapi kita perlu gerakkan kerja, pastikan penyatuan ummah berjalan dengan baik dan menerusi kefahaman yang jelas.

“Di samping kita fahamkan sahabat UMNO, kena fahamkan juga golongan veteran dalam saf pimpinan PAS, mungkin mereka ini rasa serik, kena (dengan rakan tahaluf) dulu.

“Mereka tak faham, justeru kita kena bagi faham, termasuk ahli jemaah PAS kerana masih lihat UMNO dengan perangai lama.

“Kita sanggup lupakan sejarah lama demi Islam,” katanya pada sesi perbahasan ucapan dasar Ketua Dewan Pemuda PAS, sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-60, di sini hari ini.

Nasrun yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah berkata, gerak kerja memeterai kerjasama, sama ada bersandarkan konsep taawun atau tahaluf siyasi bersama UMNO perlu didasari beberapa syarat.

Beliau berkata, antara syarat itu termasuk menjadikan PAS sebagai ‘nakhoda’ selepas bergabung dengan UMNO bagi memastikan perlembagaan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad dapat dipertahankan.

“Pelopori kesatuan UMNO dan PAS atas dasar apa? Demi Islam, itu matlamat kita tetapi kena pastikan penyatuan ini benar-benar ikhlas kerana Allah seperti disebutkan Ketua Pemuda (PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi).

“Jangan ada dalam diri kita nak pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya kerana ini akan menggelapkan serta mungkin menghalang UMNO-PAS bersatu,” katanya.

Wakil PAS Selangor, Ahmad Ubaidillah Abdullah, berkata sisi lain di sebalik usaha penyatuan ummah yang perlu diterokai ialah keperluan mewujudkan deklarasi jelas kepada kelompok bukan Islam.

Deklarasi itu, katanya, akan mengandungi tawaran dan komitmen PAS dalam menjamin hak serta keadilan kepada mereka, sekiranya parti Islam berkenaan diberikan mandat oleh rakyat untuk memerintah pasca PRU-15.

“Komitmen ini penting bagi menyatukan kelompok bukan Islam bagi menangkis naratif jahat yang cuba diwujudkan dalam konteks tahaluf siyasi,” katanya.

Berita Harian X