Khamis, 13 Jun 2019 | 5:43pm
MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bersama barisan kepimpinan Barisan Nasional dan PAS di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa. - Foto Zaman Huri Isa

Piagam kerjasama muafakat PAS-UMNO dijangka diisytihar Julai ini

KOTA BHARU: PAS menjangkakan piagam kerjasama muafakat membabitkan parti itu dengan UMNO akan diisytiharkan pada bulan depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jawatankuasa teknikal sudah bermesyuarat sebanyak dua kali dan kini hanya menunggu mesyuarat jawatankuasa induk untuk ke peringkat akhir.

“Mesyuarat jawatankuasa induk akan dibuat dalam masa terdekat. Kita jangka pada awal Julai dan selepas itu, hujung Julai kami akan adakan pengisytiharan bersama antara PAS dan UMNO.

“Saya masih tidak dapat berkongsi isi kandungan piagam terbabit, namun ia diterima oleh kedua-dua pihak. PAS-UMNO sama-sama berbincang dan yang menariknya, apa yang dihasratkan hampir semuanya sama.

“Jawatankuasa setiap parti akan meneliti kandungan dalam masa terdekat dan kita ada mesyuarat kedua jawatankuasa induk sebelum buat keputusan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Hari Raya PAS-UMNO di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, mesyuarat akan dibarisi oleh lima wakil untuk aspek teknikal, manakala jawatankuasa peringkat membabitkan 11 wakil bagi setiap parti, yang mana turut dianggotai oleh kepimpinan tertinggi.

“Kita jangka satu usul akan dibahaskan di muktamar mengenai kerjasama ini dan perlu mandat daripada muktamar kerana ia adalah prosedur biasa.

“Secara keseluruhan, maklum balas sangat positif, namun jika ada isu-isu membabitkan dasar, akan dibincangkan di Majlis Ulama. Kita tidak ada masalah dalam mendapat sokongan penyokong, jika ada, ia hanya asam garam saja,” katanya.

Berita Harian X