Khamis, 13 Jun 2019 | 12:54pm
Mazlan Bujang.

Ketua Bahagian BERSATU Johor perlu terima pelantikan Mazlan

JOHOR BAHRU: Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor harus menerima pelantikan Mazlan Bujang sebagai Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU negeri.

Setiausaha BERSATU Johor, Mohd Solihan Badri, berkata ketua bahagian perlu menyedari bahawa BERSATU Johor adalah komponen penting dalam Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan negeri ketika ini.

Katanya, rakyat Johor memberi mandat kepada PH dalam pilihan raya yang lalu untuk berkhidmat dengan lebih baik bagi membela nasib rakyat dan bukan untuk menjadikan lantikan mereka sebagai platform mencari pangkat, kedudukan dan ‘bermain’ politik.

“Atas asas itulah, setiap ketua bahagian BERSATU Johor harus menerima pelantikan Mazlan sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri dan menyokong kepimpinan beliau demi kekuatan parti yang juga tiang seri BERSATU Malaysia.

“Pemimpin bahagian yang sebenarnya bertaraf penaja iaitu lantikan oleh Presiden dan Pengerusi BERSATU Pusat, harus sedar bahawa ahli akar umbi memerhatikan mereka malah kedudukan mereka terdedah kepada penggantian melalui pemilihan yang akan berlangsung tahun ini.

“Jika Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal boleh menerima pelantikan Mazlan manakala Mazlan tiada masalah bekerja dengan Menteri Besar serta barisan EXCO yang baru dilantik, tiada sebab ada ketua bahagian masih keberatan menyokong kepimpinan BERSATU negeri,” katanya kepada BH.

Hari ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan laporan mengenai pergolakan dalaman BERSATU Johor dengan mendakwa sebilangan ketua bahagian di negeri ini bertindak memboikot mesyuarat parti yang diadakan.

Sementara itu, Mohd Solihan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raja, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor berkata, menimbulkan persoalan bagaimana akar umbi BERSATU Johor mahu menyalurkan idea dan mengatur gerakan jika wujud hubungan renggang antara bahagian dan kepimpinan negeri.

“Jadilah contoh pemimpin yang baik dan setia kepada parti kerana keberadaan kita dalam pentas masyarakat adalah atas platform parti. Tiba masanya untuk maju ke depan kerana kita akan berhadapan dengan tugas yang lebih besar mengekal kerajaan negeri.

“Contohilah pendirian Menteri Besar yang mengetepikan sikap peribadi dan kepentingan diri dengan bekerja keras bagi memastikan BERSATU dan kerajaan negeri berupaya menyelesai masalah dan mengangkat kepentingan rakyat, demi kesinambungan pembangunan Johor,” katanya.

Beliau berkata, setiap pihak mempunyai tanggungjawab menjadikan hasrat itu satu kenyataan melalui pengukuhan struktur organisasi terutama di peringkat cawangan, bahagian dan negeri sesuai dengan peringatan pucuk pimpinan ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.

655 dibaca
Berita Harian X