Sabtu, 8 Jun 2019 | 3:37pm
KETUA Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor (tengah) ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Ketua Penaja BERSATU Kota Belud, Datuk Japlin Akim (tiga dari kiri) di Kota Belud. NSTP/Ihsan Pembaca.

Tiada halangan sertai BERSATU

KOTA BELUD: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan menghalang mana-mana individu atau pemimpin yang berminat untuk menyertai dan menyokong perjuangan parti itu di negeri ini.

Ketua Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata sesiapa saja yang berminat termasuk orang muda, akan diterima sejajar perjuangan parti itu yang bersifat inklusif untuk semua masyarakat Bumiputera dan Pribumi.

“Bagi kita, BERSATU adalah untuk semua rakyat Pribumi dan Bumiputera yang menerima perjuangan parti ini. Kita buka untuk semua, kita tidak halang sesiapa yang mahu menyertai parti ini terutama orang muda.

“Alhamdulillah, sambutan setakat ini sangat baik, semua golongan masyarakat termasuk profesional seperti doktor, peguam dan pemimpin belia serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai kita. Semua kita bawa kerana BERSATU adalah parti yang inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Penaja BERSATU Kota Belud, Datuk Japlin Akim, di sini, hari ini.

Mengenai pelantikan pemimpin bahagian, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, berkata keputusan itu sudah dibuat kepemimpinan BERSATU peringkat Pusat.

Bagaimanapun, katanya mana-mana pemimpin yang tidak terpilih akan dimasukkan dalam barisan kepemimpinan di bahagian masing-masing.

“Kita sudah jumpa semua kumpulan ini dan mereka menyatakan akan terus bekerjasama serta memberi sokongan kerana pucuk pimpinan yang membuat keputusan mengenai siapa yang menerajui bahagian di Sabah,” katanya.

Setakat ini, katanya, kira-kira 200,000 permohonan keahlian BERSATU diterima di Sabah dan jumlah itu dijangka terus bertambah sehingga mencapai 300,000 pada tahun depan.

Sementara itu, Hajiji berkata BERSATU Sabah kini giat menyusun struktur parti pada peringkat bahagian termasuk sayap Srikandi BERSATU (Srikandi) dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Kita mahu proses penyusunan struktur parti ini disiapkan supaya Majlis Tertinggi Pusat dapat membuat keputusan mengenai penganjuran mesyuarat pertama bahagian di Sabah.

“Kita juga berharap dapat menghantar perwakilan pada Mesyuarat Agung BERSATU yang dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

1592 dibaca
Berita Harian X