Selasa, 21 Mei 2019 | 11:00am
Mahfuz (berdiri, dua dari kanan) beramah mesra dengan ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) selepas majlis berbuka puasa di Alor Setar, malam tadi. - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

Ahli PAS jujur perlu tinggalkan parti

ALOR SETAR: Ahli PAS yang jujur dalam perjuangan diminta meninggalkan parti itu berikutan PAS kini berada dalam kemunafikan politik selepas diperalat demi kepentingan pemimpinnya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata sebagai antara bekas pemimpin PAS, beliau sangat memahami sikap ahli parti itu yang sebenarnya mudah ditipu termasuk dalam isu ‘kartel dedak’.

Katanya, ramai ahli PAS termakan dengan penafian pimpinan parti itu selepas pendedahan menantu Presiden PAS, Zaharudin Muhammad mengenai berlaku penerimaan dana daripada UMNO oleh pimpinan PAS.

“Sebelum ini PAS sendiri mengakui rakaman audio yang tersebar membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO adalah suara Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

“Memang jelas perkara ini berlaku, saya kasihan kepada ahli PAS, mereka sangat jujur, tetapi berada dalam lubuk kemunafikan politik parti dan berharap mereka dapat berfikir mengenai perkara itu daripada terus diperalatkan pimpinan PAS,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Zaharudin melalui beberapa catatan di Facebook membangkitkan isu ‘kartel dedak’ yang berlaku dalam parti itu.

Menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu turut mendedahkan lima pemimpin PAS terbabit dalam penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Bagaimanapun, nama lima pemimpin berkenaan tidak dinyatakan dengan jelas, sebaliknya diletakkan mengikut singkatan nama individu dimaksudkan.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membubarkan Parlimen tahun depan bagi mengelak menyerahkan jawatan itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya tindakan melagakan dua individu terbabit.

“Mereka kononnya mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan tahun depan bagi mengelak Anwar menjadi Perdana Menteri. Sebenarnya, mereka hanya mahu melagakan Dr Mahathir dan Anwar.

“Saya yakin PRU-15 akan diadakan apabila sampai tempoh dan Dr Mahathir akan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar mengikut perjanjian sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata beliau menjangkakan PRU-15 akan diadakan tahun depan berikutan desakan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu yang mendakwa kenal lama dan tahu ‘gaya’ Dr Mahathir, percaya Perdana Menteri tidak akan menyerahkan jawatan berkenaan kepada bakal penggantinya.

Berita Harian X