Ahad, 19 Mei 2019 | 10:17am

Bekas Ketua UMNO Permatang Pauh meninggal dunia

BUKIT MERTAJAM: Bekas Ketua UMNO Permatang Pauh, Datuk Ahmad Saad meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini, awal pagi tadi.

Allahyarham Ahmad, 68, yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhirnya akibat sakit tua, pada jam 2.15 pagi tadi.

Jenazah dibawa ke rumahnya di Jalan Baru di sini, dan disolatkan di Masjid Jalan Baru dekat sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang.

Beliau meninggalkan tiga isteri iaitu Alang Habsah Mahmod, Noraini Othman dan Fitrisari; 15 anak dan 22 cucu.

Allahyarham juga menghidap angin ahmar sejak lapan tahun lalu dan kesan daripada penyakit itu menyebabkan beliau lumpuh sebelah badan serta terlantar di rumahnya di Jalan Baru, di sini.

Beliau yang berasal dari Kampung Bukit Indera Muda, Kubang Semang di Permatang Pauh dan pernah menjadi pegawai daerah Bukit Mertajam dari tahun 1976 hingga 1978.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dari 1991 hingga 1995; ADUN Permatang Pasir (1995-1999) dan EXCO Pemuda UMNO.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Batik Malaysia Bhd; Presiden LBI Capital Bhd; Pengerusi Lembaga LBI Capital Bhd; Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Promto Bhd; Pengarah Federal Auto Holdings Bhd dan Patco (M) Bhd.

1391 dibaca
Berita Harian X