Ahad, 19 Mei 2019 | 1:07am
NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Pengerusi UMNO Selangor baharu diumum lepas raya

SHAH ALAM: Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor yang baharu dijangka diumum selepas sambutan Aidilfitri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata buat sementara, Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, akan memangku tugas pengerusi.

“Saya sudah menemui ketua bahagian dan ketua sayap parti untuk mendapatkan pandangan mereka.

“Ada beberapa ketua bahagian menyatakan minat mengisi jawatan itu, mereka adalah pemimpin berkebolehan dan berwibawa untuk menerajui UMNO Selangor.

“Saya akan berbincang dengan Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk memutuskan nama Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor bagi tempoh sementara dan melepaskan jawatan itu pada 1 April lalu.

“Dalam tempoh itu, Barisan Nasional (BN) kembali menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Mac lalu.

“UMNO Selangor sudah boleh dipimpin oleh pemimpinnya sendiri,” katanya.

916 dibaca
Berita Harian X