Sabtu, 18 Mei 2019 | 9:15pm

Umat Islam disaran ambil iktibar peristiwa turunnya al-Quran

PERMATANG PAUH: Umat Islam di seluruh negara diingatkan supaya menghayati dan mengambil iktibar daripada peristiwa turunnya al-Quran ketika Ramadan dalam usaha merapatkan jurang perkauman.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini kerana al-Quran adalah mesej jelas dan menjadi petunjuk kepada umat Islam, yang tidak boleh digunakan sebagai perantaraan untuk mewujudkan perbalahan.

“Kadang-kadang saya tidak faham kenapa dalam tazkirah, ajaran atau parti kita dan sebagainya boleh sempitkan risalah (al-Quran) ini. Mahu bezakan, tunjukkan permusuhan terus-menerus antara Islam dan bukan Islam.

“Turunnya al-Quran itu sebagai petunjuk bagi manusia. Kita baca dan faham supaya jadi baik... sebagai mesej kepada manusia. Bagaimana nak bagi mesej kalau tak ada interaksi dengan dia (bukan Islam)?

“Bagaimana nak sampaikan mesej kalau kita anggap dia musuh sentiasa. Mesej itu petunjuk kepada manusia dengan syarat kita anggap kemanusiaan antara Islam dan bukan Islam sebagai sesuatu yang patut dipupuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Anwar, di Masjid Al-Falah di Permatang Pasir di sini, hari ini.

Yang turut hadir, EXCO Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin serta EXCO Perdagangan Antarabangsa Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain.

Menyertai mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir merangkap Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) , Muhamad Faiz Fadzil dan ADUN Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, berkata naratif berhubung isu perkauman diketengahkan pihak tertentu disifatkan sebagai sesuatu yang bukan dibawa dalam ajaran Islam.

“Saya tahu dalam naratif kita sekarang orang Melayu dengan Melayu, bukan Melayu dengan bukan Melayu dan ketegangan secara terus-menerus. Saya tak anggap ini sesuatu yang dianjurkan Islam.

“Islam menekankan untuk kita bantu masyarakat dan tentu akan tahu masalah kemiskinan, pendidikan, kesihatan, kaum dan masyarakat yang wujud.

“Bagaimanapun, (Islam) tak pernah maksudnya untuk melawan, memusuhi, meremehkan atau memijak hak orang lain,” katanya yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya yakin ekonomi negara mampu dipulihkan dalam tempoh dua tahun lagi, berdasarkan perancangan dan pelaksanaan dijalankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perdana menteri (Dr Mahathir) ketika ini meletakkan beberapa agensi kerajaan dalam kedudukan asas yang baik bagi memastikan ekonomi negara semakin baik.

“Selepas kita (PH) menang tahun lalu, baru kita sedar keadaan ekonomi negara terlalu teruk...ini bukan politik tetapi kenyataan yang benar dan perlu rakyat semua tahu.

“Saya yakin mudah-mudahan dalam setahun dua ini Tun (Dr Mahathir) dapat pulihkan ekonomi negara dan dapat meneruskan agenda membantu rakyat,” katanya.

367 dibaca
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap semasa hadir pada Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang. - Foto Danial Saad
Berita Harian X