Rabu, 15 Mei 2019 | 4:24pm
PENGERUSI UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. - NSTP/Aswadi Alias

Keputusan PRK Sandakan bukan mesej Sabah tolak UMNO - Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak menganggap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada Sabtu lalu sebagai mesej rakyat Sabah menolak UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan memberi alasan, ia kerana kerana masih wujud cawangan dan bahagian UMNO di negeri ini walaupun ada pemimpinnya meninggalkan parti.

“Jangan buat kesimpulan keputusan PRK Sandakan sebagai kayu pengukur penolakan rakyat Sabah terhadap UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin bahawa kejayaan DAP mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan membuktikan UMNO semakin hilang sokongan di Sabah.

Pada PRK berkenaan, calon DAP, Vivian Wong Shir Yee berjaya mempertahankan kerusi dengan majoriti lebih besar iaitu 11, 521 undi , mengalahkan calon Parti Bersatu Sabah (PBD), Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Pengerusi DAP Sabah dan bapa Vivian, mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu, Tien Fatt menang kerusi Parlimen Sandakan dengan majoriti 10,098 undi ketika menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo yang memperolehi 8,996 undi.

Bung Moktar berkata, Su Phin harus faham Parlimen Sandakan memang kubu kuat DAP dan beliau yakin jika LDP juga bertanding menentang DAP, parti berkenaan akan kecundang, malah mungkin hilang deposit.

Katanya, majoriti pengundi Cina di kawasan berkenaan memberi kelebihan kepada DAP berbanding parti lawan.

Pada masa sama, beliau berkata, kekalahan PBS pada PRK itu turut disebabkan kegagalan membawa balik pengundi dari luar Sandakan berikutan kekangan kewangan.

“Ini bukan faktor kegagalan bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang melawat sehari ke Sandakan, menarik pengundi Melayu atau UMNO.

“Malah pencapaian calon PBS yang memperolehi sebanyak 4,491 undi adalah lebih baik berbanding LDP yang tidak bertanding pada PRK itu,” katanya.

Bung Moktar berkata, LDP sebelum ini gagal membuat pendirian untuk menyokong parti mana selain tidak berani meletak calon di Sandakan.

“LDP hanya menyokong DAP selepas parti itu mencapai kejayaan pada PRK berkenaan,” katanya.

1940 dibaca
Berita Harian X