Rabu, 15 Mei 2019 | 3:47pm
PERDANA Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - NSTP/Luqman Hakim Zubir

25 ketua penaja bahagian BERSATU Sabah terima watikah pelantikan

KOTA KINABALU: Seramai 25 ketua penaja bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menerima watikah pelantikan, semalam.

Watikah berkenaan disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi BERSATU, di Putrajaya.

Setiausaha Eksekutif BERSATU Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelantikan itu susulan penubuhan 25 bahagian BERSATU di negeri ini yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 3 Mei lalu.

“Surat kelulusan berkenaan disampaikan Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kepada Ketua Penyelaras BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, pada 5 Mei lalu.

“Susulan itu, Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Lafaz Ikrar Ketua-Ketua Penaja Pimpinan Bahagian BERSATU Sabah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Majlis Iftar BERSATU Peringkat Nasional, semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketua penaja bahagian bertanggungjawab mengurus dan melengkapkan proses penubuhan bahagian, cawangan, sayap Srikandi serta Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) di bahagian masing-masing.

Mereka yang menerima watikah pelantikan ialah Datuk Hajiji Noor (Tuaran), Datuk Masidi Manjun (Ranau), Datuk Abd Rahim Bakri (Kudat), Datuk Wetrom Bahanda (Kota Marudu), Datuk Japlin Akim (Kota Belud), Mohamed Razali Mohamed Razi (Sepanggar) dan Datuk Faisyal Yusof Hamdain Diego (Kota Kinabalu).

Seterusnya, Senator Datuk John Ambrose (Penampang), Datuk Arsit Sedi (Putatan), Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar (Papar), Datuk Mohd Arifin Arif (Kimanis), Datuk Isnin Aliasnih (Beaufort), Matbali Musah (Sipitang), Datuk Rubin Balang (Tenom), Azman Ruslan (Keningau) dan Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Pensiangan).

Selain itu, Datuk Awang Kadin Tang (Sandakan), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Aksyah Nasrah (Kinabatangan), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Mohd Daud Tampokong (Semporna), Abdul Hakim Gulam Hassan (Silam), Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan (Tawau) dan Abdul Karim Abdul Wahid (Kalabakan).

564 dibaca
Berita Harian X