Rabu, 15 Mei 2019 | 3:20pm
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. - Foto Yazit Razali

Kit Siang gesa SPR jalan inkuiri empat kerusi Parlimen BN

KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan inkuiri berhubung dakwaan membabitkan pemindahan pengundi tentera secara tidak sah di empat kerusi yang pernah ditandingi pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Kerusi berkenaan itu adalah Parlimen Bagan Datuk yang disandang bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong); bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (Segamat)

Bagaimanapun, hanya Subramaniam yang juga bekas Presiden MIC tewas dalam kerusi yang ditandinginya pada PRU-14.

Kit Siang berkata, inkuiri itu bagi menentukan sama ada keputusan membabitkan kerusi berkenaan perlu diisytihar batal atau sebaliknya.

Mengikut kenyataan yang dimuat naik beliau dalam www.blog.limkitsiang.com, hari ini, gesaan itu dibuat susulan laporan terhadap Kementerian Pertahanan yang mendedahkan wujud pembabitan pegawai SPR dalam proses pemindahan pengundi tentera.

“Pakatan antara pegawai SPR dengan Kementerian Pertahanan bertujuan mengekalkan sokongan secara tidak sah dan tidak demokratik terhadap menteri.

“Ia bukan sahaja salah guna kuasa kerajaan (ketika itu) tetapi mempamerkan pencabulan proses demokratik.

“Jadi (Ahmad) Zahid, Hishammuddin dan Ismail (Sabri) perlu menyatakan adakah mereka mengalu-alukan inkuiri untuk putuskan sama ada pilihan raya mereka tidak demokratik. Jika tidak, maka ia perlu diisytihar tidak sah dan batal,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun menegaskan pihaknya akan mengkaji tuduhan beberapa pegawainya membantu BN sebelum PRU-14 berhubung pembinaan kem tentera untuk memindahkan pengundi bagi menambah sokongan di kawasan tertentu.

Azhar menegaskan, tindakan seterusnya akan diambil jika beliau melihat laporan penuh terlebih dahulu.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mendedahkan wujud kem tentera yang dibina bertujuan menambah undi anggota pertahanan di kawasan itu dan ia kemudian dikosongkan selepas berakhirnya PRU.

Beliau berkata, kerajaan mendapati kem itu dibina khususnya untuk PRU supaya tentera boleh ditempatkan di kem berkenaan.

2015 dibaca
Berita Harian X