Selasa, 14 Mei 2019 | 6:37pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail

Takiyuddin tidak hormat Yang di-Pertuan Agong - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong apabila menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kenyataan Takiyuddin itu juga berlawanan dengan pendirian bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Mik Mat, yang selama ini mempertahankan Presiden PKR itu sebagai tidak bersalah dan mangsa konspirasi politik.

Beliau berkata isu Anwar sebagai bekas banduan tidak sepatutnya timbul kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, selaras Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kenyataan Takiyuddin jelas meremehkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, serta memperlekeh integriti proses dan prosiding Lembaga Pengampunan yang memberikan pengampunan penuh itu kerana berlaku ketidakadilan dalam pendakwaan dan pemenjaraan Anwar.

“Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan, menunda hukuman dan melegakan hukuman.

“Segala proses dan prosiding untuk memberikan pengampunan penuh kepada Anwar telah diikuti dan dipatuhi oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Isu sama ada Anwar adalah ‘bekas banduan’ tidak lagi timbul kerana beliau mendapat pengampunan penuh, selain dibenarkan bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson tanpa sebarang pertikaian undang-undang berhubung status kelayakan beliau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Takiyuddin ketika berceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan bagi membantu calon PBS baru-baru ini antara lain mempersoalkan sama ada Anwar layak menjadi perdana menteri berikutan statusnya sebagai ‘bekas banduan’.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pendirian Takiyuddin itu bercanggah dengan pendirian PAS sebelum ini yang konsisten mempertahankan Anwar sebagai tidak bersalah.

“Kenyataan ‘bekas banduan’ oleh Takiyuddin mengundang perbandingan nyata dengan (pendirian) Mursyidul Am PAS terdahulu yang cukup disegani dan dihormati, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz yang mendokong kuat Anwar serta mengkritik pemenjaraan beliau sebagai fitnah politik.

“Ternyata kemesraan PAS bersama UMNO mengubah nada dan pendirian PAS dalam berdepan isu penting negara, termasuklah pemenjaraan Anwar, yang dikritik masyarakat perundangan antarabangsa sebagai satu konspirasi politik,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin menegaskan Anwar layak untuk dicalon dan dilantik sebagai Perdana Menteri, sesuai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen yang dipilih secara sah, selaras muafakat Pakatan Harapan (PH) pada Januari 2018 yang menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

“Tumpuan Anwar dan PKR sekarang ialah memelihara muafakat PH, mendokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berusaha menterjemah agenda rakyat dan reformasi dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.

3149 dibaca
Berita Harian X