Selasa, 14 Mei 2019 | 4:10pm
RAJA Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

AMANAH Terengganu persoal dikaitkan dengan poster 'kartel dedak'

KUALA TERENGGANU: Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu mempersoalkan tindakan bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad apabila mengaitkan parti itu dalam penyebaran poster lima pemimpin PAS yang dikaitkan dengan ‘kartel dedak’.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata sekiranya Zaharudin ingin membuat tuduhan, biarlah dengan bukti dan bukan sekadar menyebut serta menyalahkan AMANAH.

Katanya, AMANAH sering kali dijadikan ‘kambing hitam’ apabila timbul masalah dalaman dalam PAS.

“Kalau nak buat tuduhan, beri bukti yang khusus. Jangan hanya sebut dan salahkan AMANAH kerana sebelum ini juga keluar tuduhan yang sama dan kami yang berada di AMANAH dipersalahkan dan kami sentiasa dikambinghitamkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, beliau turut mempersoalkan tindakan Zaharudin yang mendedahkan isu penting dan sensitif itu tanpa memberi perincian yang jelas.

Katanya, sekiranya Zaharudin menyebut nama dengan jelas pemimpin PAS yang dikaitkan ‘kartel dedak’ itu maka isu ini tidak akan timbul.

Zaharudin menerusi catatan di Facebook beliau menyenaraikan individu terbabit sebagai Dr Husam II (kepala nombor 1), Mr NT, Mr KT, Mr KH dan nama terakhir sebagai ‘semua dah tahu’.

Kemudiannya tular poster yang menampilkan lima pemimpin PAS yang dikaitkan dengan ‘kartel dedak’ iaitu Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan; Ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Ghazali.

Malah dalam masa sama, Zaharudin juga menyatakan beliau mendapat restu daripada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang untuk membuat pendedahan terbabit yang akhirnya disangkal oleh Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Zaharudin seakan sengaja mengundang situasi ini berlaku dan apabila orang membuat tafsiran sendiri, beliau menyalahkan pihak terbabit.

“Ini isu kredibiliti. Kalau parti dia sendiri, dia sanggup buah tohmahan kepada ahli kanan parti dan menggunakan nama presiden parti yang juga bapa mentuanya, kita yang tidak ada kena mengena dan bukan ahli parti, saya rasa amat mudah beliau buat kenyataan tanpa mengambil tanggungjawab penuh.

“Malah tidak hairan beliau membuat tuduhan melulu untuk melepaskan tengkuk sendiri,” katanya.

Berita Harian X