Selasa, 14 Mei 2019 | 1:09pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) dan Zaharudin Muhammad.

Kartel dedak: Zaharudin sedia hadapi tindakan disiplin

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, sedia menghadap Jawatankuasa Disiplin parti berikutan pendedahannya mengenai ‘kartel dedak’ dalam kalangan pemimpin kepada umum.

Beliau menyatakan demikian dalam hantaran laman Facebook hari ini bertajuk ‘Isu restu: Spin team media kartel dedak’.

“Alhamdulillah jika Jawatankuasa Disiplin mula bersidang isu ini. Saya sudah tunggu peluang ini cukup lama,” katanya.

Mengulas isu beliau mendakwa pendedahan mendapat restu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharudin yang juga menantu Abdul Hadi berkata ia bagi menjernihkan keadaan terhadap polemik isu lama yang dinamakannya ‘isu Nurul’.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mendapat restu Abdul Hadi dalam pendedahan ‘kartel dedak’ sejak Ahad lalu kerana tidak berjumpa dengan bapa mentuanya itu sejak seminggu lalu.

“Saya tulis yang TG (Tuan Guru - merujuk kepada Abdul Hadi) restu itu berkait dengan isu lama, isu Nurul dulu.

“Setelah Mr KH (Kaki Hasut) menghasut, saya bagi penjelasan, maka TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) restu dan saya tak tarik tulisan itu sampai sekarang.

“Dalam rakaman terkini, wartawan tanya berkenaan restu Presiden (PAS) berkenaan pendedahan kartel dedak yang hangat sehari dua ini. Jadi sememangnya TG Presiden nafikan sebab memang saya tak jumpa dia sejak seminggu lalu,” katanya.

Isu Nurul dipercayai merujuk kepada kenyataan Zaharudin mengenai EXCO Pemuda PAS, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang pernah mendedahkan dakwaan berhubung pendirian Abdul Hadi dan Majlis Syura PAS, mengizinkan penerimaan wang daripada UMNO.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, hari ini mengumumkan PAS mengeluarkan larangan terhadap ahlinya daripada membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan urusan parti dalam semua bentuk media, berkuat kuasa serta-merta.

Zaharudin mendakwa, penghasut dalaman PAS menjelaskan kepada presiden, kononnya beliau membangkitkan isu ‘RM90 juta Sarawak Report’, berbanding polemik kartel dedak yang mempunyai kaitan dengan penerimaan dana daripada UMNO.

“Tahniah dan terbaik media seliaan ‘Mr Hussam II’ yang mengawal Facebook serta Twitter Presiden PAS sekarang,” katanya.

Zaharudin juga menempelak pentadbir akaun Facebook dan Twitter Abdul Hadi yang didakwa menyebarkan hantaran ‘tidak restu’ bagi menunjukkan beliau berbohong dalam isu itu.

Abdul Hadi pada sidang media petang semalam menafikan memberi restu kepada Zaharudin untuk menonjolkan isu ‘kartel dedak’ itu kepada umum, sebagai menjawab kepada dakwaan menantunya itu yang tindakan berkenaan direstui Presiden PAS.

1736 dibaca
Berita Harian X