Ahad, 12 Mei 2019 | 11:48pm
Perkongsian Zaharudin di laman Facebooknya.

Pendedahan 'kartel dedak' dapat restu Hadi

KUALA LUMPUR: Zaharudin Muhammad mendakwa pendedahannya sebelum ini berkenaan ‘kartel dedak’ membabitkan pemimpin PAS mendapat restu Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau, yang juga menantu Abdul Hadi, dalam entri Facebooknya malam ini menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan ‘kartel’ itu bertujuan mengelak serangan parti lawan, yang didakwa mempunyai audio penting untuk digunakan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lalu.

“Tujuan saya bukan nak dedahkan apa yang Nurul (Islam) buat tapi ‘backup’ awal dan matikan bom jangka jika Pakatan Harapan (PH) nak letupkan bom itu dekat PRU, bahawa itu kerja individu, bukan parti. Buktinya saya dah lawan awal.

“Jadi, bangkangan terbuka saya boleh jadi bukti bahawa mendedak ini bukan kerja tok guru (Hadi). Waktu itu orang nak kata apapun peduli apa sebab misi saya ialah bimbang jangkaan yang bakal berlaku. Sekurang-kurangnya itu bukti bahawa mendedak bukan kerja pimpinan,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan ‘kartel’ pada waktu itu juga memujuk supaya Hadi mengarahkan pendedahan yang dibuatnya di Facebook (FB) dihentikan.

“Kartel waktu itu sudah mula cucuk tok guru (Abdul Hadi) suruh hentikan FB saya. Macam biasa, bagi info (maklumat) separuh masak kata saya tembak sama sendiri dalam FB.

“Akhirnya, saya bagi penjelasan sebab apa saya buat begitu dan tok guru (Abdul Hadi) restu dan saya tak tarik tulisan itu sampai sekarang,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerja ‘perkartelan’ tidak lagi berlaku pada masa hadapan demi menjamin kemenangan PAS.

“Kena letak ‘figure’ (tokoh) yang betul pada tempat yang betul, baru boleh menang. Bukan letak ahli kartel sekalipun tak ada potensi boleh menang,” katanya.

Pagi tadi, Isu ‘kartel dedak’ dibangkitkan Zaharudin selepas beliau menyenaraikan secara simbolik lima watak utama yang didakwanya terbabit menerima wang daripada orang UMNO.

Berita Harian X