Sabtu, 11 Mei 2019 | 10:50am
BEKAS ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad.

Saya bukan dalang sebar rakaman - Zaharudin

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad menafikan beliau sebagai dalang merakam dan menyebarkan rakaman audio individu membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Menerusi beberapa siri status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Zaharudin berkata coretan terbabit adalah untuk menghindarkan ‘fitnah yang sedang menjalar, bukan fitnah yang sedang tidur’.

“Saya mendapati fitnah menyatakan saya rakam audio YB (Yang Berhormat) Ustaz Nik Mohamad Abduh (Nik Abdul Aziz) sudah sangat tular daripada hanya cakap-cakap dalaman sehingga kepada public (orang awam).

“Kalau saya rakam dan sebar, nescaya saya sebar rakaman peristiwa itu sampai habis. Kalau dengar sekerat rakaman itu, orang akan kata saya yang lawan tok-tok guru sebab YBNA (Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz) mendakwa semua ambil duit UMNO termasuk diri dia, tetapi saya sahaja yang keras bangkang, Su’ zonn dan lain-lain,” katanya.

Beliau bagaimanapun sedia mengemukakan lebih banyak bukti berhubung isu terbabit jika fitnah yang disebarkan menjadi semakin melarat.

“Jika melarat saya boleh dedahkan cerita ini A sehingga Z dan background (latar belakang) audio itu sendiri. Berdepan dengan orang alim senang sebab hujah yang menjadi panduan. Berdepan dengan orang jahil lebih susah sebab mereka berpegang dengan sentimen.

“Tetapi berdepan dengan hipokrit penipu jauh lebih sukar sebab depan sokong, belakang bangkang fitnah dan cantas. Jenis macam ni hanya kebenaran, hujah dan sabar serta istiqamah sahaja (menjadi) bekal terbaik,” katanya.

Dalam status lain yang dimuat naiknya, Zaharudin berkata, perkongsian coretannya mengundang kemarahan ramai pihak dan mendakwa boleh menjejaskan rahsia parti.

“Saya nak tegaskan bahawa yang saya coretkan itu bukan rahsia jemaah dan parti sebab itu bukan keputusan PAS dan parti serta kepemimpinan tertinggi. Yang saya dedahkan itu ialah ‘RAHSIA KARTEL DEDAK’,” katanya.

Dalam siri hantaran itu juga Zaharudin mengakui beliau adalah ‘komander’ kepada pasukan yang berusaha menyingkirkan ‘jebon’ sejak 2006 iaitu kumpulan pimpinan PAS yang disingkirkan dan kemudiannya menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pada tahun lalu, Nik Abduh dikaitkan dengan rakaman audio yang didakwa membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan berkenaan dan menganggap sebagai fitnah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, kemudiannya mengakui rakaman audio individu membuat pengakuan mengenai penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

2699 dibaca
Berita Harian X