Ahad, 21 April 2019 | 11:10am
KETUA Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto Aswadi Alias

Penubuhan PSC disokong, kaji semula kandungan MA63

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) dalam membantu koordinasi usaha kajian semula inti pati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khusus bagi melindungi hak dan keistimewaan Sarawak.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata inisiatif itu jelas memperlihatkan keseriusan kerajaan Pusat dalam memulihara hak dan keistimewaan negeri ini, termasuk ‘layanan’ yang harus diberikan sebagai ‘rakan kongsi’ pembentukan Malaysia.

“Inilah yang disuarakan Ahli Parlimen GPS dalam Dewan Rakyat. Kita berterima kasih kepada kepemimpinan Pusat di atas segala usaha dilaksanakan mereka dalam mencari jalan penyelesaian isu ini.

“Dengan adanya jawatankuasa itu, kita berharap isu pindaan itu dapat dibincangkan secara terperinci dan lebih menyeluruh, sebelum dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan Fadillah sebagai maklum balas terhadap penubuhan PSC yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Liew Vui Keong kelmarin.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, berkata usaha itu juga membuktikan keikhlasan Kerajaan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam meneruskan rundingan berhubung isu berkenaan.

Katanya, usaha itu juga bagi memastikan segala perkara termaktub dalam MA63 dipatuhi, seterusnya mengembalikan hak dan keistimewaan Sarawak yang terhakis sebelum ini.

“GPS turut mengalu-alukan persetujuan Vui Keong untuk bertemu Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu,” katanya.

Selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), GPS turut dianggotai Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Berita Harian X