Jumaat, 19 April 2019 | 11:47pm
PRESIDEN PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapannya ketika program Dialog Mahasiswa Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Universiti Sains Islam Malaysia. - Foto BERNAMA

Malaysia akan kuat jika dapat sokongan semua kaum

NILAI: Melayu perlu kuat dan mendapat sokongan kaum lain untuk memastikan negara ini aman dan stabil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu menegaskan, tiada negara boleh bertahan dengan hanya bergantung kepada satu kaum saja dan tidak memandang serius terhadap isu berkaitan perkauman.

“Orang Melayu mesti kuat kerana kita majoriti di negara ini, tetapi jika nak jadi negara yang kuat, mesti ada dokongan dan integrasi daripada kaum lain,” katanya pada sesi Meet Anwar@USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) di sini, hari ini.

Yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani.

Sementara itu, Anwar menegaskan Malaysia harus kembali ke landasan untuk melaksanakan janji berteraskan prinsip Perlembagaan.

“Prinsip ini adalah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

“Ini sudah dipersetujui dan saya tidak akan bertolak ansur. Saya tidak mahu dikenali sebagai Perdana Menteri yang menzalimi Melayu, tindas kaum Cina dan kaum lain. Saya ingin pimpin rakyat Malaysia dan bukannya hanya sekadar tumpu kepada kaum tertentu.

“Saya sudah hidup derita, usia pun dah tua, kalau dah masuk keluar penjara, dipukul, diaib dan dianiaya, kalau masih khianat memang wajar diterajang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

1781 dibaca
Berita Harian X