Isnin, 15 April 2019 | 8:29pm
AHLI Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivarasa K Rasiah berucap pada majlis perasmian Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kuala Nerus, hari ini. - Foto Imran Makhzan

PKR bedah siasat punca calon tewas PRK Rantau

KUALA NERUS: Kepimpinan tertinggi PKR akan melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kekalahan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan negeri (DUN) Rantau, Sabtu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivarasa K Rasiah, berkata kekalahan calon PKR, Dr S Streram pada PRK DUN Rantau bukan bermakna rakyat menolak kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya beliau berkata, rakyat masih menerima PH dengan baik dan akan terus memberi sokongan kepada kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sudah menjadi perkara biasa, pimpinan tertinggi PH akan melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kekalahan atau kemenangan pada setiap PRK yang diadakan.

“Kekalahan calon PH DUN Rantau tidak bermakna majoriti rakyat menolak kepimpinan PH,” katanya selepas merasmikan Kursus Induksi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim.

Pada PRK Rantau Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi berbanding Streram yang hanya mendapat 5,887 undi.

Dua lagi calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin masing-masing hanya memperoleh 83 dan 79 undi.

Sivarasa yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, pucuk pimpinan tertinggi PH dan PKR menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan kemenangan Mohamad bukanlah keputusan mengejutkan.

Katanya, kekalahan kali ketiga berturut-turut calon dari PH selepas DUN Semenyih dan Parlimen Cameron Highlands itu tidak menghalang kerajaan PH untuk bekerja keras untuk rakyat.

“PH mengamalkan politik sihat dan tanggungjawab diamanahkan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu akan tetap dijadikan keutamaan,” katanya.

3690 dibaca
Berita Harian X