Sabtu, 13 April 2019 | 9:50pm
DATUK Seri Mohamad Hasan meraikan kemenangan selepas berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

BN kekal kuasai DUN Rantau

SEREMBAN: Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini.

Timbalan Presiden UMNO itu yang memenangi kerusi DUN Rantau sejak 2004, memperoleh 10,397 undi daripada 56 saluran, mengatasi tiga pencabarnya dengan majoriti 4,510 undi.

Pesaing terdekat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Dr S Streram daripada PKR mewakili Pakatan Harapan (PH), mendapat 5,887 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

Suasana di Dewan SJKC Bandar Sri Sendayan yang menjadi pusat penjumlahan undi dipenuhi penyokong Barisan Nasional (BN) termasuk barisan pimpinan seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Ribuan penyokong BN turut membanjiri perkarangan luar pusat penjumlahan undi bagi meraikan kemenangan parti itu pada PRK berkenaan.

Suasana gamat bermula sejak jam 7 malam dengan penyokong mengibar bendera parti sambil bersorak. Keadaan tetap terkawal dengan kehadiran anggota polis di sekitar pusat penjumlahan undi.

Mohamad yang mula bertanding di kerusi itu pada PRU-11 pada 2004, berjaya menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.


DATUK Seri Mohamad Hasan meraikan kemenangan selepas berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Pada PRU-12 dan PRU-13, Mohamad menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, masing-masing dengan majoriti 4,613 undi dan 3,783 undi.

Kemenangan DUN Rantau ini menjadikan penguasaan ketiga berturut-turut bagi BN selepas PRK Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari lalu dan PRK DUN Semenyih, 2 Mac lalu.

Dua lagi calon bertanding pada PRK Run Rantau ialah suri rumah, R Malarvizhi, mendapat 83 undi, manakala bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Mohd Nor Yassin, meraih 79 undi.

Jumlah undi diperoleh itu bermakna kedua-duanya hilang wang deposit.

Peraturan menetapkan calon kehilangan wang deposit jika gagal memperoleh satu perlapan atau 12.5 peratus undi daripada keseluruhan undi dikira.

PRK DUN Rantau turut mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding enam PRK sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 79.3 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Rantau diadakan berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU-14 adalah tidak sah dan terbatal.

Pada PRU-14, Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon 28 April tahun lalu selepas Dr Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana tidak memiliki pas dikeluarkan SPR.

PRK DUN Rantau adalah yang ketujuh selepas PRU-14.

Enam PRK sebelum ini adalah di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober), Parlimen Cameron Highlands (26 Januari) dan DUN Semenyih (2 Mac).

7914 dibaca
Berita Harian X