Sabtu, 13 April 2019 | 9:43pm
Dr S Streram ketika hadir mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Rantau. - Foto BERNAMA

Dr Streram tak sangka tewas dengan majoriti besar

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram tidak menyangka beliau tewas dengan majoriti besar kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam PRK ini.

Mengakui calon yang beliau hadapi bukan calang-calang pemimpin iaitu Timbalan Presiden UMNO, Dr Streram menyifatkan jumlah majoriti 4,510 yang diperoleh Mohamad itu sesuatu yang sangat besar dan di luar jangkaan parti.

“Saya memang tidak sangka tewas kepada calon BN dengan majoriti undi yang besar, sedangkan bacaan kita ketika kempen menunjukkan sokongan pengundi terutama kaum India dan Cina meningkat.

“Namun, saya terima keputusan ini. Kalah dan menang adat pertandingan. Memang sedih kerana kalah, tetapi saya akan terus berkhidmat di Rantau walaupun tewas,” katanya kepada media di Bandar Sri Sendayan, malam ini.

Dalam PRK ini, Dr Streram yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau memperoleh 5,887 undi berbanding Mohamad yang mendapat 10,397 undi.

Mengulas penyertaan beliau dalam PRK ini apabila dapat bertanding secara sah selepas haknya bertanding dinafikan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Streram berkata beliau gembira kerana akhirnya dapat berdepan dan mencabar bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

“Sudah tentu saya sangat gembira kerana dapat bertanding dan mencabar beliau (Mohamad). Saya fikir ini pertandingan yang adil. Saya terima,” katanya.

Dr Streram berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menghubunginya susulan kekalahan beliau pada PRK ini tetapi ia akan dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

“Rancangan saya selepas ini, mahu bercuti dalam sebulan, dan selepas itu akan kembali untuk berkhidmat di Rantau. Malam ini saya akan meraikan ulang tahun perkahwinan saya yang ke 34 dengan isteri,” katanya.

6253 dibaca
Berita Harian X