Sabtu, 13 April 2019 | 11:04am
Nur Izzati memasukkan kertas undi sambil memangku anaknya, Nur Farisha Adina Mohd Fadhil yang berusia dua bulan pada PRK DUN Rantau di Sekolah Kebangsaan Tamil Rantau, hari ini. - Foto BERNAMA

Jaga diri, jaga tanggungjawab

SEREMBAN: Seorang pengundi yang baru habis berpantang adalah antara yang berbaris menunggu giliran melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, hari ini.

Nur Izzati Abdul Ghani, 30, yang selamat melahirkan anak kembar perempuan dua bulan lalu, enggan melepaskan peluang untuk bersama keluar mengundi.

“Kalau nak ikutkan, saya baru saja habis berpantang tetapi mengundi bukan selalu.

“Saya keluar juga dan Alhamdulillah, kesihatan pun memuaskan,” katanya yang tampil memakai jubah dengan diiringi suami dan anak mereka, Nur Farisha Adina Mohd Fadhil serta dan Nur Falisha Adila.

Nur Izzati mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau, Bandar Ekar, pada jam 9.20 pagi tadi.

Katanya, kesedaran untuk menunaikan hak sebagai pengundi dalam kalangan generasi muda semakin membanggakan.

“Kita tidak boleh ada alasan untuk menunaikan tanggungjawab ini demi masa depan negara,” katanya.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram; calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas, suri rumah R Malarvizhi serta bekas pensyarah, Mohd Nor Yassin.

641 dibaca
Berita Harian X