Jumaat, 12 April 2019 | 8:58pm
MENJELANG hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. - Foto Bernama

PRK Rantau: Mungkinkah tuah 'induk ayam' bantu kemenangan?

RANTAU: Sebagai pilihan raya kecil (PRK) ketujuh diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, perjalanan kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh dirumuskan berlangsung dalam suasana aman dan tenang.

Sepanjang 14 hari kempen ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sejak 30 Mac lalu sehingga hari ini, tiada kekacauan, pergaduhan atau kekecohan dilaporkan berlaku.

Berdasarkan rekod polis, hanya pelanggaran peraturan pilihan raya oleh parti yang bertanding, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diterima manakala tiada laporan diterima bagi pihak dua calon bebas.

Perkembangan ini turut mendapat pujian Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, yang meninjau persiapan di pusat penjumlahan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, hari ini.

Sememangnya jika diimbau perjalanan kempen PRK DUN Rantau, dari Siliau ke Bandar Sri Sendayan, melintasi Bandar Ekar Rantau ke Kuala Sawah , Nyatoh, Kampung Bemban, Taman Angsamas, Mambau dan Kampung FELDA Sendayan, semuanya berlangsung dengan tertib.

Walaupun pemimpin parti bersaing datang berceramah dengan suara lantang, kehangatannya cuma berlegar di tempat kempen.

Usai ceramah, penonton pulang tanpa mencetuskan apa juga bentuk provokasi manakala lokasi ceramah beransur-ansur menjadi sepi.

Namun, apa yang dikesan masih berlaku adalah ceramah berbaur serangan peribadi calon.

Ia dilihat masih menebal dalam kalangan penceramah, baik di pihak parti kerajaan mahu pun pembangkang.

Mungkin masing-masing sudah terbiasa dengan budaya itu dan belum dapat menghayati sepenuhnya budaya politik baharu.

Apa yang jelas, sepanjang dua minggu kempen, persaingan yang benar-benar ketara adalah antara PH yang diwakili Dr S Streram daripada PKR dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, mewakili BN.

Dua calon Bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin, tenggelam dalam arus persaingan PRK Rantau, malah tidak menghairankan jika kedua-duanya kehilangan deposit apabila keputusan PRK diumumkan malam esok.

Antara kelibat paling kerap kelihatan membantu kempen PKR ialah Presidennya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sibuk ke hulu ke hilir bersama Dr Streram.

Walaupun pemimpin PKR termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menjenguk, kelibat Anwar ketara ibarat ‘induk ayam’ yang mengawasi pergerakan anaknya.

Hingga ke satu peringkat, apa yang berlaku seolah-olah Anwar yang bertanding dalam PRK ini menentang Mohamad atau Tok Mat, selaku Timbalan Presiden UMNO, bukannya Dr Streram.

Namun, pepatah ada menyebut, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’.

Daripada empat calon yang bertanding, hanya seorang bakal terpilih menjadi wakil rakyat dan ia bergantung kepada keputusan 20,793 pengundi di DUN Rantau esok.

1344 dibaca
Berita Harian X