Jumaat, 12 April 2019 | 6:22pm
Streram mempamer bakat menyanyi di hadapan penduduk setempat ketika melakukan lawatan ramah mesra di Kampung FELDA Sendayan, Rantau. - NSTP/Saifullizan Tamadi

PRK Rantau: Dr Streram tukar kerjaya?

SEREMBAN: Hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram ‘mengubah strategi’ bagi menyuntik sedikit kelainan.

Mungkin penat berceramah sejak hari penamaan calon pada 30 Mac lalu, hari ini pakar bius itu meluangkan masa mempamer bakat menyanyi di hadapan penduduk setempat ketika melakukan lawatan ramah mesra di Kampung FELDA Sendayan, Rantau, di sini.

Ia berlaku secara spontan ketika beliau bersarapan bersama penduduk di sebuah warung dengan diiringi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Secara kebetulan, sekumpulan pemuzik tempatan turut bersama dalam program itu sebelum Dr Streram bertanya sama ada beliau boleh turut menyanyi.

Calon PH itu kemudian mendendangkan lagu ‘Fikirkan Boleh’ nyanyian kumpulan Metropolitan tetapi menukar liriknya kepada ‘Streram Boleh’.

Tindakan pakar perubatan itu pantas menarik perhatian orang ramai yang berada di warung berkenaan, termasuk beberapa pemilik warung untuk menyaksikan bakat terpendam pakar bius itu selama beberapa minit.

Kumpulan pemuda yang menggunakan gitar dan tamborin itu dianggotai jentera PKR sendiri sebagai hiburan sepanjang berkempen.

Sementara itu, Dr Streram ketika ditemui pemberita, menghargai usaha dilakukan kumpulan terbabit menghiburkan orang ramai dalam beberapa program ceramah kempennya sejak dua minggu lalu.

“Seronok pula dapat peluang menyanyi bersama mereka. Ini juga strategi berkempen kerana saya mahu pengundi mendapat mesej yang ingin disampaikan.

“Walaupun tidak lama, saya rasa bertuah kerana ini boleh dikira menyanyikan lagu sendiri,” katanya dalam nada berseloroh.

Berita Harian X