Khamis, 11 April 2019 | 10:54pm
Dr S Streram. - Foto Adzlan Sidek

Dr Streram mesti buka pusat khidmat

SEREMBAN: Ayam tambatan PKR, Dr S Streram sudah menerima dua tanggungjawab untuk beliau laksanakan seandainya diumum sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada malam Sabtu ini.

Dua tanggungjawab itu ialah membuka pusat khidmat di DUN Rantau dua hari selepas hari pengundian dan kedua berkongsi nombor telefon kepada pengundi di Rantau untuk mudah dihubungi.

Tanggungjawab itu diberikan kepada Dr Streram oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berkempen di Siliau, Rantau, malam ini.

“Saya nak sebut dan berpesan kepada dia. Jika pada 13 hari bulan ini SPR umum dia menang sebagai wakil rakyat Rantau, 14 hari bulan berehat.

“Namun, pada 15 hari bulan (Isnin) dia kena terus buka pusat khidmat di Rantau, bukan tunggu seminggu atau sebulan.

“Tanggungjawab kedua. Kita minta nombor telefon beliau dihebahkan kepada pengundi Rantau dan mudah dihubungi 24 jam. Itu syarat jadi wakil rakyat PH.

“Kemudian, baru turun (kawasan) ucap terima kasih kepada rakyat,” katanya.

Dr Streram dari PKR menjadi calon PH dalam PRK DUN Rantau bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon bebas, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

633 dibaca
Berita Harian X