Khamis, 11 April 2019 | 2:15pm
Dr Streram memeriksa mata penduduk ketika melawat program pemeriksaan mata percuma di Balai Raya Kampung Siliau, Rantau. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Kempen tidak terjejas tanpa manifesto - Dr Streram

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S Streram, yakin kempen pilihan raya yang dilaksanakan PH berjalan lancar meskipun tiada sebarang manifesto dilancarkan.

Beliau berkata, keadaan itu tidak menjejaskan keyakinan pengundi terhadapnya untuk menjadi wakil rakyat di Rantau.

“Saya baru melihat draf manifesto dan ia sedia untuk dilancarkan tapi kebanyakan perkara yang saya sebut sebelum ini sebenarnya sudah termasuk dalam manifesto.

“Walaupun lambat mendedahkannya, ia masih efektif dan berkesan untuk meraih undi serta tidak langsung menjejaskan perjalanan kempen PH,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program pemeriksaan mata percuma di Kampung Siliau, Rantau, di sini.

Sehingga kini, calon dari PKR itu dilihat berkempen dengan mengadakan lawatan ramah mesra di sekitar Rantau untuk bertanyakan sendiri masalah dihadapi penduduk supaya dapat mencari jalan menyelesaikannya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 70 peratus daripada pengundi Rantau yang berada di luar kawasan akan pulang mengundi pada Sabtu ini.

“Kita mempunyai pasukan yang bertanggungjawab untuk menghubungi pengundi di luar kawasan bagi mendapatkan maklum balas mereka sama ada akan pulang mengundi pada 13 April ini.

“Maklum balas yang diterima adalah memberangsangkan dan 70 peratus daripadanya memberitahu bahawa mereka akan balik (Rantau),” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Streram berkata, sokongan yang ditunjukkan masyarakat setempat setakat ini juga cukup kukuh sekali gus meningkatkan keyakinan PH untuk merampas kerusi DUN Rantau daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ditanya mengenai kenyataan MCA bahawa komuniti Cina di Rantau akan lebih memilih Mohamad sebagai wakil rakyat mereka, Dr Streram berkata, parti itu mungkin tidak sedar bahawa hakikatnya kebanyakan komuniti Cina di negara sudah beralih sokongan kepada PH.

“MCA kuat bermimpi, mereka pun hanya berjaya menang satu kerusi daripada 28 yang dipertandingkan di Parlimen. Jadi adakah Cina menyokong mereka?

“Bagaimanapun, semua pengundi tidak kira kaum adalah penting bagi saya. DUN Rantau ada lebih 28,000 pengundi dan saya inginkan peratusan yang tinggi,” katanya.

384 dibaca
Berita Harian X