Selasa, 9 April 2019 | 12:05am
SAIFUDDIN berucap ketika membantu calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram sempena tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau. - Foto Bernama

Bantu Tok Mat 'berehat' untuk uruskan UMNO

SEREMBAN: Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau perlu dimanfaatkan pengundi untuk ‘merehatkan’ Datuk Seri Mohamad Hasan daripada terus menjadi wakil rakyat Rantau bagi penggal keempat.

’Saranan’ itu disuarakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya calon Barisan Nasional (BN) itu dapat menumpukan usaha memulihkan kembali UMNO dan BN selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

“Kita tahu Mat Hasan (Mohamad) banyak berjasa di Rantau membantu orang di sini. Orang Melayu, Cina dan India semua kenal dia.

“Namun, kali ini saya mengajak pengundi untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Dr S Streram calon PKR supaya membantu Mohamad ‘berehat’ daripada menjadi wakil rakyat Rantau.

“Kita bagi Mat Hasan ‘berehat’ supaya dia dapat menumpukan kerja untuk menguruskan semula UMNO dan BN.

“Sekarang Mat Hasan jalankan tugas Presiden UMNO sebab bekas Presiden (Datuk Seri Najib Razak) sekarang turun naik mahkamah. Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) juga terpaksa turun naik mahkamah.

“Biar Mat Hasan selesaikan kerja dia bina dulu UMNO menjadi pembangkang kuat. Biar Dr Steram jaga Rantau dan jaga Negeri Sembilan. Bagi kepada Dr Streram pula untuk membantu di Rantau,” katanya ketika berkempen di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH di Bandar Ekar Rantau, malam ini.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, jika Mohamad menang pada PRK beliau juga tidak mampu untuk memulihkan semula FELDA.

“Mat Hasan kalau menang di sini, bolehkah dia memulihkan FELDA. Kenapa saya cerita FELDA di sini? Apa kaitannya.

“Biar Dr Streram menang di sini supaya memudahkan PH memulihkan FELDA, negeri dan negara ini. PH kini menjadi kerajaan di Negeri Sembilan. PH juga menjadi kerajaan di Putrajaya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang berusaha memulihkan FELDA yang mengalami kerugian ketika BN mentadbir negara sebelum ini.

“Kita akan bentang ‘Kertas Putih’ mengenai kelemahan urus tadbir FELDA di Dewan Rakyat yang akan menerangkan kerugian dihadapi agensi itu serta apakah langkah pemulihannya.

“Kita akan bahaskan di Parlimen. Semua akan membahaskannya, UMNO boleh membahaskannya dan akhirnya kita tahu ke mana perginya wang FELDA dan langkah memulihkannya,” katanya.

3184 dibaca
Berita Harian X