Isnin, 8 April 2019 | 12:54pm
Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram (dua, kanan) bersama jentera Rapid Election Force (REF) Akademi Kepimpinan dan Pengurusan PKR, menunjukkan isyarat empat jari sebagai tanda kedudukan keempat pada kertas undi calon PH ketika bertemu jentera bagi membantunya menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Rantau Eco Park. - Foto BERNAMA

Dr Streram harap PM turun kempen

SEREMBAN: Berbaki empat hari tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram melahirkan keinginannya untuk melihat Tun Dr Mahathir Mohamad turun berkempen di sini.

Katanya, jika Perdana Menteri sudi untuk membantunya berkempen di Rantau, ia diharap akan meningkatkan lagi keyakinan pengundi kepada dirinya sebagai calon pilihan PKR.

“Saya difahamkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui Dr Mahathir untuk memberi penerangan mengenai perkembangan kempen di DUN Rantau.

“Saya juga dapat tahu melalui akhbar yang Dr Mahathir menyatakan sokongan kuat kepada saya dan saya amat menghargainya.

“Memang saya berharap beliau turun berkempen di Rantau dan ia akan beri sokongan lebih kuat lagi kepada saya,” katanya kepada media di Mambau, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebelum ini turun berkempen membantu calon PH termasuk pada PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah tiga kali turun berkempen di Rantau manakala Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai ‘berkhemah’ di sini.

Pemimpin kanan PH yang pernah turun berkempen di Rantau adalah Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Dr Streram mengakui kehadiran pemimpin parti komponen PH berkempen di Rantau amat membantu kempen beliau dalam PRK ini.

“Beberapa masalah yang wujud di Rantau seperti klinik kesihatan kurang kemudahan dan perumahan dapat diselesaikan dengan kehadiran pemimpin PH yang juga menteri,” katanya.

818 dibaca
Berita Harian X