Ahad, 7 April 2019 | 12:24am
ANWAR (kiri) bersalaman dengan calon Pakatan Harapan Dr S Streram (tiga, kanan) ketika hadir pada Ceramah Umum DAP sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Bandar Ekar. - Foto Bernama

Anwar mahu rakyat waspada agenda UMNO-PAS

SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu rakyat berwaspada dengan agenda penyatuan Melayu dan Islam yang dibawa menerusi kerjasama UMNO dan PAS kerana dibimbangi ia boleh menimbulkan ketegangan hubungan di antara kaum di negara ini.

Presiden PKR itu berkata, rakyat harus membuka mata dengan agenda UMNO dan PAS kerana ia dibimbangi menjejaskan landasan perjuangan yang dibawa Pakatan Harapan (PH), iaitu bersikap adil kepada semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan hak Melayu, Islam dan Raja-raja.

“Jangan izinkan landasan perjuangan kita diubah sehingga menimbulkan ketegangan di antara kita. Jangan benarkan naratif perjuangan UMNO dan PAS menentukan dasar politik kita,” ketika berceramah dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Kelab Tuanku, di Rantau, sebentar tadi.

Anwar bagaimanapun, menegaskan pendirian PH dalam soal menjaga dan membela kepentingan orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu serta Raja-raja tidak berubah tetapi pada masa sama meminta kaum bukan Melayu menerima pendirian ini.

“Saya tidak bertolak ansur dalam hal Melayu, Islam dan kedudukan Bahasa Melayu tetapi saya tidak aniaya orang India, Cina.

“Cina, India kena terima Raja-raja, kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu tapi kita juga kena terima hak mereka. Yang penting jangan bagi orang tukar landasan perjuangan kita,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut meminta pengundi DUN Rantau memberi sokongan kepada calon PH dari PKR, Dr S Streram dan tidak berasa bimbang memilih bukan Melayu sebagai wakil rakyat.

“Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun masih Melayu. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga Melayu. Maka jangan bimbang. Tidak salah kita pilih bukan Melayu untuk membolehkan kita berunding dan sama-sama mentadbir demi semua kaum,” katanya.

Berita Harian X