Selasa, 2 April 2019 | 12:41am
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berucap pada Ceramah Umum di Bilik Gerakan Utama Bandar Ekar, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau. - Foto Saifullizan Tamadi

Berapa harta Tok Mat? - Saifuddin

SEREMBAN: Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau tidak perlu membandingkan pencapaian bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pengundi juga perlu menilai mengenai aspek keperibadian dimiliki kedua-dua pemimpin itu, malah Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan asing lebih besar, berbanding zaman pentadbiran Mohamad.

“Pengundi mungkin terlepas pandang keperibadian jujur dimiliki Aminuddin yang mengisytiharkan harta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Siapa tahu berapa banyak harta dimiliki Tok Mat (Mohamad)? Tiada siapa tahu. Aminuddin ini kita sudah tahu berapa harta dimilikinya dan sekarang pun kita masih boleh baca harta dimilikinya.


Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berucap pada Ceramah Umum di Bilik Gerakan Utama Bandar Ekar, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Rantau. - Foto Saifullizan Tamadi

“Dr S Streram (calon PH) pun dah isytihar hartanya. Inilah ciri-ciri pemimpin perlu kita pilih. Kalau ada peningkatan pun, mestilah secara betul dan sah. Jika ada berlaku unsur sebaliknya, sila ambil tindakan dan kita tidak akan mempertahankannya,” kata beliau pada program ceramah di Bandar Ekar di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau menyeru pengundi untuk menyokong Dr Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April ini.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Dr Streram, Mohamad yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas, suri rumah R Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada PRU14 terbatal dan tidak sah. - BERNAMA

4750 dibaca
Berita Harian X