Sabtu, 30 March 2019 | 12:01pm
AHLI Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah (lima dari kiri) bersama mahasiswa dan kakitangan UKM ketika menyertai program 'Leadership Walk' sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Nurul Izzah elak media

BANGI: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar enggan meluangkan masa kepada pihak media yang mahu mengajukan soalan susulan kenyataannya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pihak media yang tiba seawal jam 7.45 pagi untuk menemuramah bekas Naib Presiden PKR itu ketika program Leadership Walk anjuran Pusat Kepimpinan Wanita Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini pagi tadi, pulang hampa apabila beliau enggan berbuat demikian.

“Enough with media (Cukup-cukuplah dengan media. Tolong fokus (program) UKM. Terima kasih,” katanya ringkas.

Ketika itu, Nurul Izzah kelihatan tergesa-gesa meninggalkan program berkenaan.

Tindakan beliau kemungkinan mahu mengelak soalan daripada media berhubung kenyataannya baru-baru ini yang kecewa dengan prestasi pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan menyifatkan Perdana Menteri bekas diktator.

Memetik laporan Straits Times Singapura, kekecewaan puteri sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berikutan pentadbiran PH terlalu perlahan untuk melaksanakan perubahan dasar dan reformasi.

Selain itu, beliau turut mengakui cabaran bekerjasama dengan Dr Mahathir yang satu ketika dulu adalah seteru bapanya.

tamat

Berita Harian X