Jumaat, 29 March 2019 | 8:50pm
DATUK Seri Abdul Hadi Awang berucap di Majlis Perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Dataran MTS, Marang. - NSTP/Imran Makhzan

Saya tak bodek Dr Mahathir - Hadi

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang membidas tuduhan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau cuba membodek Tun Dr Mahathir Mohamad apabila menyanggah label diktator diberikan sesetengah pihak kepada Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, kenyataannya bahawa apa yang ditonjolkan Dr Mahathir adalah sifat ketegasan sebagai Perdana Menteri dalam menghadapi masalah pentadbiran negara ketika ini, sebagai ikhlas dan kenyataan yang benar.

Malah katanya, beliau tidak mengharapkan sebarang balasan atau habuan apabila mengeluarkan kenyataan itu.

“Saya tak minta jadi Perdana Menteri. Orang yang minta jadi Perdana Menteri lah yang membodek,” katanya selepas majlis perasmian Bangunan Maahad Tahfiz Asy-Syatibi di Kampung Alor Lit, Bukit Payong, di sini, hari ini.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, tindakan Hadi menyanggah kenyataan yang melabel Dr Mahathir seorang pemimpin diktator sebagai cubaan ‘membodek’ Perdana Menteri.

Media sebelum ini melaporkan, ketika wawancara bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah Anwar meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi seperti mana sepatutnya.

Nurul Izzah juga berkata beliau sukar untuk bekerja dengan Dr Mahathir, yang dianggapnya bekas diktator.

Mengulas lanjut Hadi berkata, Dr Mahathir bukan sahaja tegas dalam isu di peringkat nasional, tetapi juga di peringkat antarabangsa dan tiada siapa dapat menafikan ketegasan Perdana Menteri itu dalam segenap hal.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sikap dalam kalangan pemimpin PH yang melabel Dr Mahathir sebagai diktator, Hadi berkata, beliau enggan masuk campur dan ia terpulang kepada parti itu sendiri.

“Itu terpulang kepada parti mereka sendiri, saya tidak mahu campur, hal masing-masing.

“Barangkali kalau sesebuah rumah, orang luar nampak rumah itu senget, tetapi orang dalam rumah tidak sedar dan tak tahu rumah senget atau tidak,” katanya.

Berita Harian X