Khamis, 28 March 2019 | 9:24pm
Kedudukan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam PKR sehingga ini masih tidak jelas. - NSTP/Mikail Ong

Kedudukan Nurul Izzah dalam PKR tidak jelas - Zuraida

SHAH ALAM: Kedudukan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam PKR sehingga ini masih tidak jelas selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden parti.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, Nurul Izzah sudah tidak menghadiri mesyuarat sejak membuat pengumuman meletakkan jawatan dalam parti itu.

“Saya kurang jelas dengan kedudukan Nurul Izzah dalam PKR selepas surat peletakan jawatan sebagai Naib Presiden parti.

“Beliau (Nurul Izzah) meletakkan jawatan tetapi selepas itu saya tidak mengetahui statusnya. Ia tidak ke mana-mana dan saya juga tidak pasti kerana beliau tidak menerangkan kepada PKR.

“Kami tidak menemuinya kerana beliau sudah tidak menghadiri mesyuarat sejak membuat pengumuman itu. Saya tidak tahu jika beliau ada menyatakan dalam surat peletakan jawatan itu atau membiarkan kepada parti.

“Ia sangat samar-samar bagi kami kerana ada satu ketika beliau berkata beliau meletak jawatan, tetapi parti masih lagi memintanya mempengerusikan mesyuarat, Jadi saya tidak jelas dan keliru.

“Saya fikir Presiden parti, (Datuk Seri Anwar Ibrahim) perlu menjelaskan kedudukannya,” katanya.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian di majlis pelancaran buku Ceritalah Wanita anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi IWB Selangor, turut dipaparkan dalam biografi 59 halaman yang menceritakan pembangunan wanita di Malaysia, termasuk tokoh seperti Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan serta Senator wanita pertama negara, Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani.

Zuraida berkata, Anwar perlu memanggil Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang kelihatan berlainan pendapat mengenai kedudukan Nurul Izzah.

“Ia adalah tanggungjawab Presiden. Beliau perlu menggunakan kebijaksanaannya dalam kes ini dan apa saja yang ada dalam tangannya.

“Beliau sepatutnya memanggil mana-mana ahli parti yang merasakan beliau harus memberi pencerahan kepada perkara itu bagi menghentikan perbalahan ini sebelum menjadi tidak terkawal,” katanya.

Zuraida juga menegaskan, Nurul Izzah sepatutnya memberi sedikit masa kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk mencari calon bersesuaian menggantikan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dan bukannya meletak jawatan sebagai tanda protes.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu seharusnya mendapatkan pandangan daripada menteri yang bertanggungjawab mengenai bagaimana PAC bergerak selepas Ronald menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Beliau sepatutnya mendapatkan penjelasan dan rasional di sebalik keputusan mengekalkan Ronald. Saya percaya kita mempunyai rancangan ke arah itu (menggantikan Ronald).

“Beliau tidak berikan masa untuk berhubung dengan pihak berkuasa dan seterusnya memperbesarkan isu ini, terutama sekarang selepas kenyataan yang dibuatnya dan peletakan jawatannya.

“Beliau juga tidak menerangkan kepada PKR mengenai peletakan jawatannya daripada PAC, sepanjang pengetahuan saya. Saya tidak mengetahuinya,” katanya.

Berita Harian X