Selasa, 26 March 2019 | 2:08pm
TIMBALAN Presiden PBRS yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup. - Foto Edmund Samunting.

PBRS tiada masalah bekerjasama dengan BERSATU

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjelaskan tiada masalah untuk parti itu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Presiden PBRS yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup, berkata ini terutama jika ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri ini.

Bagaimanapun katanya, parti itu mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana BERSATU belum lagi dilancarkan di Sabah.

“PBRS tiada masalah bekerjasama dengan BERSATU, jika ia membawa kebaikan kepada rakyat dan negeri ini.

“Sebab itu kita mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana ia belum dilancarkan lagi di Sabah,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Pada 12 Mei lalu, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas menilai semula kedudukan mereka dalam BN.

PBRS mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Pensiangan yang dipegang anak Kurup, Arthur manakala satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook yang dipegang Datuk Ellron Alfred Angin.

Ellron bagaimanapun keluar PBRS dan menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) pada Disember lalu.

Pada 10 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor mengesahkan BERSATU akan dilancarkan di Sabah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 6 April ini.

Ia disahkan Hajiji ketika diminta mengulas berita mengenai pelancaran itu yang tersebar dalam media sosial sambil menambah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta kepemimpinan tertinggi parti akan turut hadir.

Pada 15 Februari lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU mengumumkan parti itu akan dikembangkan ke Sabah bagi menguatkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Keputusan itu disambut baik bekas wakil rakyat UMNO diketuai Hajiji yang keluar parti pada Disember lalu dan menyuarakan hasrat mahu menyertai BERSATU.

1188 dibaca
Berita Harian X