Isnin, 25 March 2019 | 5:35pm
Saifuddin akan bertemu Nurul Izzah bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada sebuah akhbar Singapura baru-baru ini. - Foto NSTP

Saifuddin akan bertemu, minta penjelasan Nurul Izzah

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan bertemu Nurul Izzah Anwar bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada sebuah akhbar Singapura baru-baru ini.

Saifuddin berkata, beliau masih belum berkesempatan bertemu dengan bekas Naib Presiden PKR itu berikutan terikat dengan kesibukan tugasnya sebagai menteri.

“Saya memilih untuk bercakap sendiri dengannya dahulu, apa sebenarnya cerita di sebalik itu dan kemudiannya barulah lebih berlaku adil untuk saya memberi sebarang komen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Citarasa Malaysia - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Nurul Izzah sebelum ini dalam satu temubual bersama akhbar Singapura itu dilaporkan menggambarkan perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu sebagai ‘sangat mencabar dan huru-hara’.

Anak sulung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut menyatakan kekecewaan dengan kemasukan bekas wakil rakyat UMNO dalam PH, selain mengeluh mengenai usaha menguatkan golongan moderat yang menurutnya tidak cukup.

“Bekerjasama dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan bukan saja kepada hidup kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah,” katanya.

Ditanya mengenai kekecewaan Nurul Izzah berhubung jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Saifuddin berkata itu adalah cara Nurul Izzah menzahirkan sesuatu.

“Saya kenal Nurul Izzah... dia ada pendirian tertentu terhadap sesuatu perkara dan biasanya dia memilih untuk menzahirkannya secara terbuka.”

“Dia sudah tentu mempunyai sudut pandang tertentu bahawa PAC itu harus dipegang seseorang mewakili pembangkang.

“Saya menghormati pendirian beliau dan Perdana Menteri juga sudah memberikan komen dan apabila sampai masanya Perdana Menteri kata, ada calon sesuai perkara itu akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin turut menafikan kesahihan satu kenyataan viral hari ini kononnya dikeluarkan oleh Pakatan Harapan (PH) berhubung kenyataan Nurul Izzah dan menyifatkannya sebagai berita palsu yang bertujuan untuk mewujudkan ketegangan hubungan parti komponen dalam gabungan PH.

“Saya sudah pun menghubungi setiausaha-setiausaha parti lain dalam PH berhubung perkara berkenaan dan diberitahu tiada kenyataan sedemikian dikeluarkan.

“Yang viral kononnya ada empat setiausaha parti dalam PH mengeluarkan kenyataan sebagai respon kepada Nurul Izzah adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

2177 dibaca
Berita Harian X