Ahad, 17 March 2019 | 10:17pm
Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Penamaan Calon PRK N27 Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas hari ini. - Foto BERNAMA

Pernah ikut misi kemanusiaan, Dr Streram calon terbaik - Anwar Ibrahim

SEREMBAN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berharap pengundi di Rantau menolak sentimen perkauman ketika mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau pada 13 April ini.

Beliau berkata, Dr S Streram adalah calon paling sesuai berdasarkan latar belakangnya yang pernah berkhidmat sebagai doktor sukarelawan di negara yang bergolak.

“Tidak ramai yang tahu beliau pernah berkhidmat sebagai doktor sukarelawan bagi membantu merawat orang Islam yang cedera di Afghanistan dan Sudan.

“Malah beliau ke sana tanpa mendapat satu sen pun bayaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PRK Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PKR, Tian Chua; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.


Anwar (empat, kiri) mengangkat tangan bersama Dr Streram (empat, kanan) pada Perhimpunan Penamaan Calon PRK N27 Rantau di Dewan Orang Ramai Taman Angsamas hari ini. - Foto BERNAMA

Lebih 500 orang hadir bagi memberi sokongan kepada pencalonan Dr Streram sebagai calon PRK Rantau.

Mengulas lanjut Anwar berkata, Dr Streram menawarkan diri untuk berkhidmat tanpa menjadikan faktor agama dan bangsa sebagai penghalang untuk membantu.

“Ini menunjukkan sifat kemanusiaan yang menebal dalam hatinya. Sebab itu saya membuat keputusan mengekalkan beliau sebagai calon selain untuk menepati janji.

“Saya berharap pengundi di Rantau tidak melihat faktor agama dan bangsa ketika mengundi nanti, sama seperti Dr Streram ketika menjalankan misi kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PKR selesa dilihat sebagai ‘underdog’ berbanding Barisan Nasional (BN) tetapi mampu memberikan kejutan dengan meraih kemenangan pada PRK Rantau, bulan depan.

Beliau berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan bakal mewakili BN, diakui memiliki kelebihan kerana pernah menyandang kerusi DUN itu selama beberapa penggal dan dilihat sebagai calon kegemaran pengundi.

Namun, katanya, faktor kekuatan pada Mohamad itu boleh menjadi motivasi untuk Pakatan Harapan (PH) bekerja lebih keras bagi memperoleh kemenangan di Rantau, sekali gus mencipta kejutan pada PRK itu.

“Kita selesa sebagai ‘underdog’. Dengan cara itu, kita serta jentera parti akan menjadikannya motivasi untuk bekerja kuat dan ia bukan luar biasa jika kita yang menang di Rantau kelak,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, hari ini.

Berita Harian X