Ahad, 17 March 2019 | 2:11pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Mohd Fadli Hamzah.

PRK DUN Rantau: PKR selesa sebagai 'underdog' - Saifuddin Nasution

POKOK SENA: PKR mengaku selesa dilihat sebagai ‘underdog’ berbanding Barisan Nasional (BN) tetapi mampu memberikan kejutan dengan meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, bulan depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan bakal mewakili BN, diakui memiliki kelebihan kerana pernah menyandang kerusi DUN itu selama beberapa penggal dan dilihat sebagai calon kegemaran pengundi.

Namun, beliau berkata, faktor kekuatan pada Mohamad itu boleh menjadi motivasi untuk Pakatan Harapan (PH) bekerja lebih keras bagi memperoleh kemenangan di Rantau, sekali gus mencipta kejutan pada PRK itu.

“Kita selesa sebagai ‘underdog’. Dengan cara itu, kita serta jentera parti akan menjadikannya motivasi untuk bekerja kuat dan ia bukan luar biasa jika kita yang menang di Rantau kelak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 April depan sebagai hari mengundi bagi PRK DUN Rantau selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan kemenangan Mohamad di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbatal dan tidak sah.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudian mengumumkan Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, sebagai calon PH pada PRK berkenaan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya PH yang dipengerusikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan diadakan dalam masa terdekat berhubung persiapan parti di Rantau.

“Saya berada di Rantau, dua hari lalu, dan kita mendapati jentera parti berada pada tahap siaga di 14 daerah mengundi. Kita sudah mengenal pasti mana yang menjadi kubu kuat kita.

“Begitu juga dengan daerah mengundi yang lemah. Kita akan memfokus untuk meningkatkan peratusan mengundi di daerah mengundi yang lemah,” katanya.

833 dibaca
Berita Harian X