Sabtu, 16 March 2019 | 3:35pm
DATUK Marzuki Yahya dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Perlis dan Pakatan Harapan (PH) Perlis buat sementara waktu sehingga Oktober ini. - NSTP/Azhar Ramli

Marzuki dilantik Pengerusi BERSATU Perlis

KANGAR: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Perlis dan Pakatan Harapan (PH) Perlis buat sementara waktu sehingga Oktober ini.

Marzuki menggantikan Amier Hassan yang direhatkan dari menyandang apa-apa jawatan dalam parti baik di peringkat bahagian mahupun negeri sehingga pemilihan jawatankuasa parti negeri diadakan semula pada Oktober ini.

Selain Amier, turut direhatkan daripada menyandang sebarang jawatan dalam parti di peringkat negeri ialah, Setiausaha BERSATU Perlis, Wan Saiful Wan Jan.

Marzuki berkata, bagaimanapun kedua-dua mereka masih boleh kekal aktif dalam aktiviti parti dan jawatan sebagai Ketua Cawangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing turut dikekalkan.

“Ketua BERSATU Bahagian Arau kini disandang oleh timbalannya, saudara Maton Din namun kerja penyelarasan parti di peringkat bahagian akan diketuai oleh saya sendiri.

“Manakala jawatan Setiausaha BERSATU dan Setiausaha PH negeri dipegang oleh Abu Bakar Hamzah menggantikan Wan Saiful,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, jawatankuasa pentadbiran BERSATU Perlis diserahkan kepada BERSATU Pusat selepas ketiga-tiga bahagian parti di negeri itu mendesak Amier berundur daripada memegang jawatan pengerusi parti dan PH dalam negeri.

Mengulas lanjut mengenai kekalutan yang timbul dalam BERSATU di negeri itu, Marzuki berkata, ia adalah salah faham dan kesilapan teknikal yang lumrah berlaku dalam mana-mana parti.

“Ia lebih kepada isu peribadi yang dicampur adukkan bersama urusan parti, maka berlakulah salah faham dan saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.

“Kita hargai jasa dan pengorbanan Amier dalam parti dan tiada hukuman yang akan dikenakan ke atasnya, malah dia juga boleh bertanding semula bagi merebut jawatan dalam parti pada Oktober ini,” katanya.

819 dibaca
Berita Harian X