Selasa, 12 March 2019 | 12:57pm
Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr S. Streram (kiri) bersama Pengerusi PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun semasa diumumkan sebagai calon DUN Rantau ketika Majlis Pengumuman Calon DUN Rantau di Ibu Pejabat PKR, semalam. - Foto BERNAMA

Streram dipilih kerana dinafikan hak bertanding pada PRU-14

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram, dipilih semula sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kerana beliau dinafikan hak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata itu adalah prinsip yang digunakan PKR dalam memilih semula Streram sebagai calon PH di kerusi itu.

"Kita kena berpegang pada prinsip, iaitu kita dapati yang menjadi calon (DUN Rantau sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14) adalah orang tertentu... kerana penipuan maka dia (Streram) kalah.

"Sekarang, keputusan pilihan raya itu dibatalkan dan diadakan PRK untuk menentukan siapakah sebenarnya patut menjadi wakil rakyat di situ, jadi orang yang sama diletakkan di situ,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan Streram sebagai calon PH bagi PRK DUN Rantau, yang diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Ditanya mengenai kemungkinan cabaran besar dihadapi Streram jika perlu berdepan penyandang yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Dr Mahathir berkata PH tetap perlu berpegang pada prinsipnya dalam memilih wakilnya tanpa mengira siapakah calon parti lawan.

“Kita pegang pada prinsip, takkanlah kerana lawan bekas Menteri Besar (maka Streram tidak dipilih sebagai calon) kerana dia tak ’besar’ macam Menteri Besar. Kita terpaksa letak orang yang sama,” katanya.

Berhubung isu Streram yang didakwa terpalit hutang dengan Ahli Parlimen Segamat, Dr Edmund Santhara, Dr Mahathir berkata, jika perkara itu membabitkan pelanggaran undang-undang, Streram tidak akan dicalonkan pada PRK DUN Rantau.

“Setakat yang kita tahu, walaupun ada hutang tapi beliau masih boleh jadi calon. Kalau muflis kerana tak bayar hutang, itu tak bolehlah jadi calon,” katanya.

535 dibaca
Berita Harian X