Ahad, 10 March 2019 | 7:51pm
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Ramdzan Masiam

PH umum calon PRK Rantau esok atau lusa

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau esok atau lusa.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini pihaknya selesai mendengar pandangan termasuk cabang negeri yang kemudiannya dibawa ke biro politik.

Katanya, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) sudah menyerahkan sebanyak enam nama untuk dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan pusat

“Jadi mungkin esok atau lusa saya akan umumkan (calon PRK Rantau) dan mengapa kita pilih calon itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Pejabat PKR Cabang Rembau di Rantau di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Cabang PKR Rembau, R Tanggam.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan kira-kira tiga jam dengan MPN dan ahli jawatankuasa PKR Cabang Rembau di kediaman rasmi Menteri Besar.

Mengulas lanjut, apabila ditanya adakah Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram akan dikekalkan sebagai calon, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kemungkinan itu ada.

“Tetapi apabila kita buat keputusan tentulah kita beri pertimbangan juga. Kita tidak nafikan hak sesiapa, tentang apa yang dia (Streram) buat, peranan dia turun naik mahkamah.

“Saya berharap semua pihak terima keputusan ini dan saya percaya kita boleh bergerak sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Rantau akan diadakan pada 13 April ini.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 30 Mac, manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 9 April.

Berita Harian X