Isnin, 4 March 2019 | 5:21pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail. - Foto Aziah Azmee

PKR perlu ikut saluran sah untuk bantah

PUTRAJAYA: Sebarang bantahan mengenai calon yang akan diletakkan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, perlu dibuat menerusi Majlis Kepimpinan Negeri sebelum ia dibincangkan di dalam mesyuarat Biro Politik PKR.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sekiranya mesyuarat Biro Politik PKR sudah mula bersidang, semua pandangan atau bantahan akan diambil kira sebelum keputusan dapat dicapai.

Beliau berkata, PKR lazimnya akan mengambil kira semua pandangan termasuk pandangan yang mendakwa ada bantahan dari Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau yang menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon PH dalam PRK DUN berkenaan.

“Setakat ini, calon belum ditentukan. PKR lazimnya mengambil kira semua pandangan yang dikemukakan dan kita masih dalam proses untuk mengenalpasti nama-nama calon sebelum ia dimuktamadkan.

“Seperti sedia maklum, Streram adalah calon PH yang menerima watikah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) namun, kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menyebabkan Datuk Seri Mohamad Hasan menang.

“Pada PRU lalu, undi Parlimen di kawasan berkenaan berpihak kepada kita, sekiranya terdapat pertandingan di DUN sudah tentu Mohamad tidak akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Coca-Colaku (Komuniti Usahawan) VIA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini, hari ini.

Status Dr Streram bukan anak jati kawasan berkenaan dikatakan antara punca beliau tidak diterima oleh jentera kerana dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.

Sementara itu, mengenai pemilihan calon PRK DUN Rantau, beliau berkata sebagai Setiausaha Agung PKR tiada sebarang nama diserahkan kepada pihaknya.

“Yang sebut mengenai nama calon ini cuma berlegar di peringkat bawahan saja, adakah ia sudah diserahkan? Sebagai Setiausaha Agung, saya belum tengok lagi nama, tapi bila sudah tiba masanya, kita akan meneliti nama yang diberi.

“Dari segi pemberian calon, PH akan berpegang kepada prinsip status quo dalam menetapkan calon dari parti dalam gabungan itu. Calon yang akan bertanding dalam PRK DUN Rantau itu sama seperti yang diamalkan dalam PRK sebelum ini.

“Calon untuk DUN Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong, Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih, semuanya adalah mengikut status quo iaitu calon dari parti yang bertanding semasa PRU-14,” katanya.

1198 dibaca
Berita Harian X