Sabtu, 2 March 2019 | 11:11pm
MUHAMMAD Aiman Zainali.

Saya akan tetap bantu rakyat Semenyih - Muhammad Aiman

KAJANG: “Saya akan tetap teruskan tugas membantu rakyat Semenyih.”

Itu kata calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang menegaskan komitmennya membantu menyelesaikan masalah penduduk Semenyih, tidak akan terhenti walaupun tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Ketika ditemui media, Muhammad Aiman yang kelihatan tenang, turut memberi jaminan akan berusaha melaksanakan beberapa janji disuarakan ketika berkempen, antaranya merealisasikan pembinaan Hospital Semenyih untuk rakyat di kawasan itu.

“Kepada pengundi DUN Semenyih, terima kasih. Insya-Allah, saya akan teruskan kerja membantu rakyat. Saya akan teruskan, Insya-Allah.

“Saya akan mencuba yang terbaik untuk mendapatkan (Hospital Semenyih). Menang atau kalah, saya tetap akan berusaha membuat yang terbaik bagi rakyat Semenyih,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama PH di Semenyih, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi, pada PRK DUN Semenyih selepas memperoleh 19,780 undi.

Zakaria menang dengan majoriti 1,914 undi menewaskan Muhammad Aiman yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).

Dalam pada itu, Muhammad Aiman juga mahu meneruskan perancangan dan usaha yang tidak dapat dilaksanakan bekas ADUN Semenyih yang juga bapa mentuanya, Bakhtiar Mohd Nor, susulan kematiannya pada 11 Januari lalu.

“Saya akan melihat bagaimana perancangan arwah dapat dilaksanakan, yang penting segalanya untuk rakyat Semenyih dan parti,” katanya.

Ditanya mengenai punca dan kelemahan yang membawa kekalahannya, Muhammad Aiman hanya menjawab, “Mungkin tiada rezeki.”

Terdahulu, Muhammad Aiman disambut dengan tepukan dan pelukan lebih 100 penyokong PH yang hadir bagi mendengar pengumuman keputusan PRK DUN Semenyih.

Berita Harian X