Sabtu, 2 March 2019 | 9:32pm

BN tawan semula DUN Semenyih

KAJANG: Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Zakaria, yang berasal dari Kampung Sesapan Kelubi, Beranang di sini menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

Namun BN memperoleh kemenangan pada PRK kali ini, dengan majoriti undi lebih sedikit iaitu 1,914 undi berbanding diperoleh penyandang terdahulu, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor, dengan 8,964 undi yang mewakili PH ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu.

Dengan kemenangan dicapai itu, menyaksikan kesungguhan jentera BN sejak hari pertama berkempen untuk menawan semula kerusi itu dari PH akhirnya berhasil, sekali gus mengembalikan status kawasan ini sebagai kubu kuat mereka.

Kemenangan itu juga menunjukkan kerjasama antara UMNO dan PAS yang diperkukuh sejak di PRK Cameron Highlands lalu begitu mempengaruhi corak dan keputusan pengundian dalam PRK kali ini.

Keputusan rasmi PRK DUN Semenyih itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK, Datuk Mohd Sayuthi Bakar di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini.

Sebaik pengumuman rasmi keputusan dibuat SPR, dewan mula bergema dengan sorakan oleh penyokong BN dan PAS.

Turut sama hadir bagi mengiringi kemenangan Zakaria adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga menjalankan tugas Presiden UMNO; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta pemimpin utama UMNO dan BN yang lain.

Menariknya juga, PRK kali ini turut menunjukkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 73.24 peratus, berbanding tiga PRK sebelumnya di Selangor iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Sebanyak 26 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang tadi bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam PRK DUN Semenyih.

Ia adalah PRK keenam selepas PRU-14 pada Mei tahun lalu, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

Secara keseluruhannya, perjalanan PRK siang tadi berlangsung lancar walaupun berlaku sedikit kekecohan antara penyokong parti dan petugas SPR di Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, dekat sini, berkaitan isu pemasangan kain rentang.

Polis trafik juga mengawal pergerakan lalu lintas di PDM tertentu sejak awal pagi lagi, sekali gus membolehkan aliran trafik lancar dan pengundi dapat menunaikan tanggungjawabnya dengan cepat dan teratur.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

ZAKARIA Hanafi diumumkan sebagai pemenang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Kajang. - Foto Asyraf Hamzah
ZAKARIA Hanafi meraikan kemenangan bersama Mohamad dan Najib selepas diumumkan sebagai pemenang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Kajang. Turut hadir, Takiyuddin. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X