Sabtu, 2 March 2019 | 10:06am
Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain Kampung Baru Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih. - Foto Asyraf Hamzah

Tiga calon selesai mengundi pagi ini

SEMENYIH: Tiga calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, antara yang terawal mengundi pada PRK itu yang berlangsung hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Kampung Baru Semenyih, manakala calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi mengundi di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sesapan Kelubi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul mengundi di Dewan Orang Ramai Semenyih.

Pengundian bagi PRK Semenyih bermula jam 8 pagi ini dan dijangka berakhir 5.30 petang.

Sebanyak 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lalu.


Calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi bersama isteri Katijah Beebi Bayi Khan membuang undi pada sekitar jam 8.10pagi untuk Pilihan Raya Kecil DUN N24 Semenyih di pusat pengundian Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang. - Foto Mohd Yusni Ariffin

#PRKSemenyih: Calon bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang beramah mesra bersama pengundi di Dewan Orang Ramai Semenyih. - Foto BERNAMA

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman, Zakaria, Nik Aziz Afiq dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 sudah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lalu.

Muhammad Aiman yang tiba di pusat mengundi tepat pukul 8 pagi dan selesai mengundi pada pukul 8.25 pagi berkata beliau berharap perjalanan proses mengundi hari ini berjalan lancar.

“Alhamdulillah, pagi ini semuanya baik-baik, kita harap pengundi membuat pilihan bijak kerana mereka menentukan nasib Semenyih,” katanya yang tiba dengan ditemani isteri Nurul Filzah Bakhtiar.


#PRKSemenyih: Calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul mengundi di Dewan Orang Ramai Semenyih. - Foto BERNAMA

Zakaria pula memuji sikap pengundi yang begitu bersemangat keluar mengundi seawal pagi bagi melaksanakan tanggungjawab dalam sebuah negara demokrasi.

“Sambutan pengundi di Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi begitu baik, mereka sudah berada di sini seawal pagi lagi,” katanya.

Sementara itu, Nik Aziz Afiq ketika ditemui berkata beliau bimbangkan kehadiran pengundi yang kurang. – BERNAMA

418 dibaca
Berita Harian X